Skip to main content

Dunia

PRN Negeri Sembilan: Ujian getir buat PH pimpinan Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Negeri Sembilan: Ujian getir buat PH pimpinan Anwar

Bendera parti politik dipamerkan di sepanjang jalan di Seremban, Negeri Sembilan pada 29 Julai 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 01 Aug 2026 07:32AM
KUALA LUMPUR: Hampir 900,000 pengundi yang layak di Negeri Sembilan akan keluar mengundi pada Sabtu (1 Ogos) dalam pilihan raya negeri yang dilihat sebagai ujian getir bagi Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Tumpuan kini terarah kepada sama ada PH mampu bangkit daripada prestasi hambar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai, mengekalkan penguasaan di negeri yang kini ditadbirnya, serta menangkis cabaran daripada rakan yang bergabung dengan seteru politik.

PH bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Rakan PH di peringkat Persekutuan, Barisan Nasional (BN), pula meletakkan calon di 25 daripada kerusi tersebut menerusi pakatan dengan gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN), yang bertanding di baki 11 kerusi.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang merupakan anggota PN, bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya ini dengan meletakkan 24 calon, sekali gus menyaksikan pertandingan menentang rakan-rakan dalam gabungan pembangkang di tengah-tengah keretakan dalam blok tersebut.

Kerjasama BN-PN dilihat sebagai petanda paling jelas setakat ini bahawa kerajaan perpaduan Persekutuan mungkin tidak akan bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan selewat-lewatnya Februari 2028, meskipun Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan itu akan terus menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Encik Anwar sehingga tamat penggal Parlimen semasa.

Penganalisis berpendapat bahawa selepas kehilangan sokongan dalam PRN Johor, satu lagi kekalahan PH di Negeri Sembilan akan meningkatkan tekanan terhadap Encik Anwar supaya membubarkan Parlimen Persekutuan, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya umum mengejut.

Mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan akan menjadi kemenangan penting buat Encik Anwar kerana ia membuktikan beliau masih mampu berkempen dengan berkesan di negeri yang diterajui Menteri Besar daripada partinya sendiri.

Namun, menurut pakar, tugas itu bukan mudah.

Kerjasama BN-PN dijangka dapat menyatukan undi Melayu yang penting, sekali gus memberi kelebihan kepada gabungan itu di Negeri Sembilan.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti teras BN, memenangi 14 kerusi dalam PRN 2023, manakala PH memperoleh 17 kerusi dan PN lima kerusi.

Sebelum DUN dibubarkan, Negeri Sembilan ditadbir oleh pentadbiran PH-BN yang mencontohi model perkongsian kuasa kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

Sebanyak 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

BILAKAH KEPUTUSAN AKAN DIUMUMKAN?

Pengundian awal berlangsung pada Selasa lalu dengan kadar keluar mengundi melebihi 91 peratus, mengatasi sasaran yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 14,995 pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera, polis serta pasangan mereka mengundi di 38 pusat mengundi di seluruh negeri, menurut agensi berita Bernama.

Bagaimanapun, sebahagian besar pengundi akan mengundi pada Sabtu antara pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Pengerusi SPR Ramlan Harun berkata suruhanjaya itu menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus, dengan mengambil kira "suasana kempen yang rancak".

Kadar keluar mengundi dalam pilihan raya negeri 2023 ialah 68 peratus, menurut The Edge.

Encik Ramlan berkata pada Jumaat bahawa keputusan penuh dijangka diumumkan sebelum tengah malam, manakala keputusan awal dijangka mula diketahui sekitar pukul 10.00 malam, lapor Malay Mail.

Dalam pilihan raya negeri 2023, SPR mengumumkan sekitar pukul 10.00 malam bahawa gabungan PH-BN memperoleh majoriti dua pertiga, walaupun keputusan tidak rasmi mula diketahui lebih awal.

APAKAH KEMUNGKINAN KEPUTUSANNYA?

Ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan mantan timbalan menteri Ong Kian Ming meramalkan gabungan BN-PN berkemungkinan memenangi antara 23 hingga 25 kerusi di Negeri Sembilan.

Pusat pemikir Ilham Centre pula meramalkan BN-PN berada di landasan untuk memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi sekali gus membentuk "majoriti yang stabil", manakala PH dijangka memperoleh sekurang-kurangnya sembilan kerusi.

Lima kerusi lagi disifatkan sukar diramalkan.

Penganalisis politik Viewfinder Global Affairs, Adib Zalkapli, berkata PH "memerlukan satu keajaiban" untuk terus menguasai Negeri Sembilan, namun jika berjaya, ia akan menjadi "kelegaan besar" buat perdana menteri.

Dengan kerjasama PN dan BN dijangka menyatukan undi Melayu, Encik Adib berkata pilihan raya ini akan menguji sama ada pakatan tersebut boleh dijadikan model di negeri-negeri lain di Malaysia.

"Bagaimana orang Melayu mengundi di Negeri Sembilan akan menentukan sama ada pakatan itu wajar diperluaskan ke negeri-negeri lain," katanya kepada Mediacorp.

KETIDAKPASTIAN BERKAITAN INSTITUSI RAJA

Pilihan raya negeri mengejut di Negeri Sembilan sebenarnya berpunca daripada pertikaian yang melibatkan institusi diraja.

Empat belas ADUN BN menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar PH Aminuddin Harun selepas menuduh beliau gagal mengendalikan kemelut berkaitan institusi diraja dengan baik.

Sepanjang tempoh berkempen, Istana Negeri Sembilan memberi amaran kepada parti-parti politik supaya tidak mengheret institusi diraja ke dalam politik.

Encik Anwar dan Encik Zahid sebelum ini turut berjanji untuk tidak membangkitkan isu berkaitan institusi diraja sepanjang kempen.

Namun begitu, pemerhati politik berkata masih wujud ketidakpastian apabila calon Menteri Besar yang dipilih oleh parti-parti yang menang perlu mendapat perkenan pemerintah negeri.

KERUSI MANA JADI TUMPUAN?

Seramai 103 calon bertanding bagi 36 kerusi DUN, melibatkan 11 pertandingan satu lawan satu, 21 pertandingan tiga penjuru, dua pertandingan empat penjuru dan dua pertandingan lima penjuru.

Antara kerusi yang menjadi tumpuan ialah Chennah, Linggi, Sikamat dan Rantau.

Setiausaha Agung DAP yang berasal dari Seremban, Anthony Loke, memburu penggal keempat berturut-turut di Chennah, di mana beliau berdepan calon BN Siow Kong Choon dalam pertandingan satu lawan satu.

Loke memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,200 undi pada pilihan raya negeri 2023, namun pertandingan sebelum ini jauh lebih sengit, menurut Free Malaysia Today (FMT).

Beliau mengalahkan calon BN-MCA dengan majoriti 1,155 undi pada 2018 dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai PAS, dan menang dengan majoriti 1,098 undi pada 2013 dalam pertandingan satu lawan satu.

Walaupun PH masih dianggap pilihan untuk mengekalkan kerusi campuran itu, penganalisis memberitahu FMT bahawa Chennah akan terus menjadi tumpuan kerana perubahan sentimen pengundi Melayu, Cina dan Orang Asli boleh mempengaruhi saiz majoriti yang diperoleh Loke.

Pada penghujung kempen, Pengerusi PH Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi juga menghadiri beberapa ceramah di seluruh Negeri Sembilan sebagai usaha terakhir meraih sokongan pengundi.
Sumber : CNA/IM/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita