Skip to main content

Dunia

PRN Negeri Sembilan: Proses kira undi sudah bermula

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Negeri Sembilan: Proses kira undi sudah bermula

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Aug 2026 08:10PM
SEREMBAN: Pengiraan kertas undi awal dan biasa yang dikeluarkan kepada individu yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, bermula pada petang Sabtu (1 Ogos).

Proses pengiraan yang bermula pada 6 petang dilaksanakan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan disaksikan wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding, di lapan pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh negeri.

Pengundian awal PRN negeri pada 28 Julai melibatkan 22,339 pemilih secara keseluruhan dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 anggota tentera dan pasangan mereka serta 5,174 anggota polis dan pasangan mereka, manakala selebihnya mengundi melalui pos.

Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal melaksanakan tanggungjawab mereka, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan SPR.

Proses pengundian pada Sabtu berakhir secara rasmi selepas kesemua 401 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat pukul 6.00 petang.

Setakat 4.00 petang, sebanyak 65.38 peratus atau lebih 562,133 orang daripada 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab mereka.

SPR sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN kali ini mampu mencecah 72 hingga 75 peratus, dengan keputusan awal dijangka diperoleh seawal Sabtu, 10.00 malam.

PRN negeri ini menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas.

Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula masing-masing menampilkan seorang calon.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita