Skip to main content

Dunia

PRN Negeri Sembilan: Prestasi BN-PN mungkin penentu jajaran baharu PRN Melaka & PRU16: Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Negeri Sembilan: Prestasi BN-PN mungkin penentu jajaran baharu PRN Melaka & PRU16: Ahmad Zahid

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi bercakap dengan media selepas Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (Gema@KKDW) Peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8 pada petang Sabtu, 18 Julai 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 18 Jul 2026 10:27PM
  • Ahmad Zahid Hamidi menyatakan prestasi kerjasama BN dan PN di PRN Negeri Sembilan akan menentukan hala tuju gabungan itu untuk pilihan raya akan datang.
  • Beliau menegaskan penilaian akan dibuat berdasarkan dinamika politik semasa sebelum mempertimbangkan kerjasama lebih luas, termasuk untuk PRN Melaka dan PRU16.
  • BN menawarkan rekod pentadbiran negeri seperti Johor dan Pahang sebagai bukti keupayaan mereka mentadbir dengan baik kepada pengundi Negeri Sembilan.
  • Kenyataan ini dibuat dalam sidang media selepas program masyarakat desa di Felda Palong 8 pada 18 Julai, dengan harapan rakyat memberi mandat kepada BN.
Dijana oleh AI
JEMPOL: Prestasi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan menjadi penentu kepada hala tuju kedua-dua gabungan itu bagi pilihan raya akan datang.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk jajaran politik baharu bagi menghadapi PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan menilai dinamik politik semasa PRN Negeri Sembilan terlebih dahulu sebelum sebarang pertimbangan dibuat mengenai kerjasama yang lebih meluas pada masa hadapan.

“Kita akan lihat prestasinya di Negeri Sembilan kerana politik ini sangat dinamik.

“Maka kita akan menyusun jajaran yang diperlukan untuk (PRN) Melaka dan negeri-negeri lain, termasuk apabila menghadapi PRU16 nanti,” katanya semasa sidang media selepas Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (Gema@KKDW) Peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8 pada petang Sabtu (18 Jul).

Beliau sebelum itu mengulas sama ada kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan akan dijadikan model untuk dibawa ke PRU16 sekiranya gabungan tersebut berjaya membentuk kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Encik Ahmad Zahid berkata, BN menawarkan rekod pentadbiran negeri-negeri di bawah gabungan itu sebagai asas keyakinan kepada rakyat Negeri Sembilan.

Menurut beliau, kadar pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Negeri Sembilan sebanyak 4.6 peratus masih berada di bawah purata nasional iaitu 5.2 peratus, manakala Johor mencatatkan pertumbuhan sekitar lapan peratus di bawah pentadbiran BN.

Beliau berkata, prestasi Johor dan Pahang membuktikan keupayaan BN mentadbir negeri dengan lebih baik, sekali gus menjadi tawaran kepada pengundi Negeri Sembilan.

“Kita memberikan tawaran dan harapan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar apa yang berlaku di Johor dan Pahang dapat dilakukan di Negeri Sembilan jika mandat diberikan kepada Barisan Nasional untuk mentadbir negeri ini,” katanya lagi.
Sumber : Agensi berita/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita