Skip to main content

Dunia

PRN Negeri Sembilan: Presiden WAWASAN cadang guna nama Perikatan Barisan Nasional bagi kerjasama PN-BN

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Negeri Sembilan: Presiden WAWASAN cadang guna nama Perikatan Barisan Nasional bagi kerjasama PN-BN

Hamzah Zainudin. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Jul 2026 03:11PM
  • Hamzah Zainudin mencadangkan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi kerjasama PN dan BN menghadapi PRN Negeri Sembilan untuk memudahkan pengenalan gabungan itu.
  • Cadangan ini diumumkan pada 21 Julai di Felda Bukit Rokan, Tampin, semasa program ceramah pengenalan calon BN-PN.
  • Hamzah menegaskan kekuatan gabungan terletak pada kesepakatan parti, dengan PN bersetuju memberi laluan kepada BN mengetuai kerajaan jika menang.
  • Beliau juga menekankan pentingnya komunikasi dan penyelesaian isu dalaman agar jentera gabungan dapat fokus mendekati pengundi dan membawa perubahan melalui pilihan raya.
Dijana oleh AI
TAMPIN: Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dicadangkan menggunakan nama baharu, Perikatan Barisan Nasional (PBN).

Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Hamzah Zainudin berkata, cadangan itu bertujuan memudahkan rakyat mengenali gabungan tersebut, sekali gus mengelakkan kekeliruan berhubung kerjasama yang terjalin antara PN dengan BN.

Menurut beliau, penggunaan singkatan PBN dilihat lebih ringkas dan mudah disebut berbanding PN-BN, namun beliau menegaskan perkara paling utama ialah semangat kebersamaan dalam kalangan parti yang bergabung untuk menawarkan pilihan baharu kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Kita mahu namakan supaya orang tidak keliru lagi. Ramai yang susah menyebut PN-BN, jadi kita gunakan PBN sahaja. Tetapi yang lebih penting bukanlah nama itu, sebaliknya jiwa kebersamaan dalam menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya, seperti dinukil Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ceramah Perdana Pengenalan Calon BN-PN Parlimen Tampin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Bukit Rokan pada Selasa (21 Jul) malam.

Encik Hamzah berkata, apa juga nama yang digunakan, kekuatan sebenar gabungan itu terletak pada kesepakatan antara parti-parti yang terlibat bagi membentuk kerajaan negeri sekiranya memperolehi mandat rakyat pada PRN akan datang.

Menurutnya, PBN bakal membawa ‘gelombang biru’ untuk berdepan ‘gelombang merah’ yang dikaitkan dengan Pakatan Harapan (PH), sambil menyifatkan sokongan rakyat akan menjadi penentu kepada hala tuju pentadbiran negeri itu.

“Jika biru menjadi pilihan majoriti rakyat, Insya-Allah kita akan mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan,” katanya kepada Astro Awani.

Dalam pada itu, Encik Hamzah memaklumkan, PN sejak awal bersetuju untuk memberi laluan kepada BN menerajui gabungan tersebut dan mengetuai kerajaan negeri sekiranya berjaya membentuk pentadbiran baharu.

Menurutnya, persefahaman yang dicapai antara kedua-dua gabungan membuktikan kesediaan mereka mengetepikan perbezaan demi mencapai matlamat bersama.

“Kami dalam PN bersetuju dari awal lagi supaya BN menerajuinya bersama-sama kami di Negeri Sembilan. Tidak ada masalah langsung sekiranya kita boleh bermuafakat seperti ini,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, siri pertemuan antara pimpinan parti yang berlangsung lebih awal bertujuan menyelesaikan sebarang salah faham, kekecewaan atau isu lama yang mungkin masih berbangkit dalam kalangan akar umbi.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan seluruh jentera gabungan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya dan usaha mendekati pengundi.

Encik Hamzah berkata, jentera gabungan juga perlu memainkan peranan memastikan pengundi memahami perancangan serta tawaran yang akan dibawa PBN untuk masa depan Negeri Sembilan.

Beliau berpandangan pembentukan kerajaan baharu menerusi saluran demokrasi mampu memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa perubahan boleh dicapai melalui pilihan raya.

Bagaimanapun,Encik Hamzah menegaskan cadangan penggunaan nama PBN masih di peringkat awal dan akan dibincangkan terlebih dahulu bersama pimpinan parti-parti yang terlibat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Ini baharu saya cadangkan hari ini. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan dalam gabungan dan kita akan lihat perkembangan seterusnya,” katanya.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita