Skip to main content

Dunia

PRN Negeri Sembilan: PM Anwar perkukuh kempen PH jelang hari mengundi

Jadual padat menanti Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim yang turun ke Negeri Sembilan pada Rabu (29 Jul) bagi memperhebat kempen Pakatan Harapan (PH) menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Negeri Sembilan: PM Anwar perkukuh kempen PH jelang hari mengundi

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memperhebat kempen Pakatan Harapan (PH) menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 29 Jul 2026 12:38PM
SEREMBAN: Jadual padat menanti Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim yang turun ke Negeri Sembilan pada Rabu (29 Jul) bagi memperhebat kempen Pakatan Harapan (PH) menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Encik Anwar akan memulakan jadual dengan menghadiri majlis minum petang bersama-sama masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Jelebu, diikuti dengan program Temu Anwar di Dewan Pusat Dakwah Islamiah, Paroi.

Beliau kemudian dijadual menyertai Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat India di Klana Resort pada sebelah malam.

Encik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut dijadualkan mengetuai dua acara Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan yang turut disertai barisan kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.

Program utama kempen tersebut dijadualkan berlangsung di Betaria Business Centre, di Seremban pada pukul 9.00 malam sebelum diteruskan di Tapak Pasar Malam Desa Cempaka di Nilai pada pukul 10.30 malam.

Selain Encik Anwar yang juga Presiden PKR, program itu akan turut disertai oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang juga calon PH bagi kerusi DUN Linggi, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke yang juga calon PH untuk DUN Chennah.

Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Amirudin Shari, Pengarah Komunikasi PH yang juga Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil serta calon-calon PH yang bertanding pada PRN berkenaan juga turut dijangka hadir.

Kehadiran Encik Anwar dijangka memperhebatkan lagi momentum kempen PH pada hari-hari terakhir sebelum tempoh berkempen tamat pada Jumaat, pukul 11.59 malam.

Bagi PRN Negeri Sembilan ke-16, PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN yang menyaksikan 16 calon daripada PKR, 11 mewakili DAP dan sembilan calon Amanah.

PRN tersebut menampilkan 103 calon yang merebut 36 kerusi DUN, dengan pengundian bagi 867,151 pengundi biasa ditetapkan pada Sabtu ini.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita