Skip to main content

Dunia

PRN Negeri Sembilan: PH lancar manifesto, garis 10 komitmen

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Negeri Sembilan: PH lancar manifesto, garis 10 komitmen

Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto bertemakan ‘Negeri Sembilan Kekal Harapan pada 20 Julai 2026 sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 06:55AM Dikemas Kini : 21 Jul 2026 06:56AM
SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) pada Isnin (20 Jul) melancarkan manifesto bertemakan ‘Negeri Sembilan Kekal Harapan’, yang menggariskan 10 komitmen utama sebagai tawaran gabungan itu bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pelancaran manifesto itu disempurnakan oleh Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Aminuddin Harun.

Sepuluh komitmen berkenaan adalah menawarkan kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat; memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR); membina ekonomi yang berdaya saing dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, serta memastikan pendidikan berkualiti untuk semua.

Turut terkandung dalam manifesto berkenaan, penyediaan 20,000 rumah mampu milik dan penyelesaian isu tanah; memperkasakan belia, wanita dan keluarga serta membangunkan sektor pelancongan dan warisan adat, selain menjayakan Pelan Pembangunan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Manifesto berkenaan turut menumpukan soal pertanian moden dan keterjaminan makanan; merealisasikan infrastruktur strategik dan perkhidmatan kesihatan berkualiti, serta memperkasakan perpaduan antara agama.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PH Anthony Loke merangkap Setiausaha Agung DAP, Ahli Majlis Presiden PH Amirudin Shari yang juga Pengarah Pilihan Raya PH, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh serta Naib Presiden Amanah Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Awal dari itu, Encik Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan dalam ucapannya pada majlis itu berkata beliau mahu Negeri Sembilan muncul sebagai 'Central Corridor' Pembangunan Harapan Malaysia, iaitu sebuah koridor pertumbuhan baharu negara yang menghubungkan zon ekonomi strategik Lembah Klang dan selatan tanah air. 

Beliau berkata kedudukan geografi negeri Malaysia itu yang berhampiran dengan ibu negara dan lengkap dengan rangkaian logistik, lebuh raya, pelabuhan, serta berhampiran dengan lapangan terbang antarabangsa meletakkannya sebagai nadi pertumbuhan baharu. 

Naib Presiden PKR itu berkata jajaran pembangunan dari Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan, Selangor sebagai enjin perindustrian, dan Melaka sebagai hab pelancongan serta maritim perlu disatukan bersama Negeri Sembilan dalam satu ekosistem yang saling melengkapi. 

"Di tengah-tengah koridor inilah berdirinya Negeri Sembilan. Negeri Sembilan bukan lagi negeri di tengah perjalanan, tetapi bakal menjadi pusat kepada perjalanan itu, daripada sebuah negeri laluan kepada negeri destinasi utama pelaburan dan inovasi," katanya.  

Mengulas lanjut, Encik Aminuddin berkata pelbagai projek pemacu ekonomi seperti penjenamaan semula Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), pembangunan NS Semiconductor Valley, dan 'Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City' dirancang khusus bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk anak tempatan.

Mengambil contoh keharmonian pembangunan wilayah Hokkaido di Jepun, beliau berhasrat menjadikan Negeri Sembilan sebagai contoh pembangunan paling seimbang di Malaysia, yang menyaksikan kemajuan industri moden bergerak seiring dengan keindahan alam sekitar dan keunikan Adat Perpatih.

"Kemajuan sebenar bukan sekadar diukur melalui angka statistik atau megahnya bangunan, sebaliknya diukur daripada kualiti hidup rakyat, sama ada anak muda mendapat pekerjaan yang baik, keluarga memiliki kediaman sendiri, dan usahawan tempatan terus berkembang," katanya.

Sehubungan dengan itu, Encik Aminuddin menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk terus memberikan mandat bagi membolehkan Visi Negeri Sembilan Maju 2045 direalisasikan. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos ini.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita