PRN Negeri Sembilan: PAS akui berunding dengan BN
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, ketika menghadiri ceramah penutup kempen Perikatan Nasional di Muar, Johor. (Gambar: Facebook/Abdul Hadi Awang)
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan yang positif.
"Ya...kita sedang berusaha bekerjasama dengan BN dan pada peringkat awal lagi kita telah berusaha kerjasama untuk mengambil alih kerajaan melalui akaun bersumpah (SD), namun malangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menarik diri.
"Ketika itu BN tidak menarik diri. Itu menunjukkan ada ruang untuk kita bekerjasama sejak awal lagi. Bagi menghadapi PRN ini, proses perbincangan masih sedang berjalan dan ia adalah sangat positif," katanya pada Ahad (12 Jul), seperti dinukil Sinar Harian.
Menurut beliau, PAS pada dasarnya bersetuju untuk BN mempertahankan 14 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu, manakala PAS akan kekal bertanding di tiga kerusi yang disandangnya ketika ini.
Jelasnya lagi, baki 17 kerusi akan dimuktamadkan menerusi rundingan bersama parti tersebut.
"BN sudah mendapat 14 kerusi dan kita lima kerusi (termasuk dua kerusi BERSATU), yang baki itu kita akan bahagikan.
"Tunggu nama calon diumumkan nanti. Namun kita terima hakikat Negeri Sembilan, BN dominasi, dia pimpin," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa parti itu tiada masalah untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada BN, asalkan calon tersebut adalah orang Melayu-Islam.
Berkenaan logo yang akan digunakan PAS bagi menghadapi PRN, Encik Abdul Hadi berkata, perkara itu masih belum diputuskan.
"Logo akan guna masing-masing dan PAS tidak tahu sama ada mahu menggunakan logo PAS atau Perikatan Nasional (PN), itu masih dalam perbincangan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.