PRN Negeri Sembilan: BN-PN bentuk kerajaan negeri selepas menang besar dengan 25 kerusi
(Dari kiri) Encik Hamzah Zainudin daripada Parti Wawasan Negara, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN bagi DUN Rantau Mohamad Hasan meraikan kemenangan di ibu pejabat UMNO di Seremban, Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan BN memenangi 18 kerusi manakala PN memperoleh tujuh DUN, sekali gus membolehkan kerjasama kedua-dua gabungan politik itu mentadbir Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Strategi kerjasama BN-PN membuahkan hasil apabila UMNO memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandingi diikuti MCA dengan dua kerusi manakala PN menerusi PAS meraih empat kerusi dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pula memperoleh tiga kerusi.
Saingan PRN kali ini turut menyaksikan Timbalan Pengerusi BN dan Menteri Luar Mohamad Hasan, yang juga penyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004, meraih kemenangan bergaya mengalahkan Dr Azizul Hakim Mahdi (PH) dengan majoriti 12,018 undi.
Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan negeri yang bakal dibentuk adalah berteraskan persefahaman antara gabungan politik itu dan PN, serta berpaksikan mandat yang diberikan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
Beliau berkata, setiap aku janji dalam manifesto yang ditawarkan oleh kedua-dua gabungan politik akan dilunaskan demi membawa manfaat yang menyeluruh kepada rakyat dan melonjakkan kemajuan serta daya saing negeri.
Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, namun hanya memenangi 11 kerusi menerusi DAP (sembilan) dan PKR (dua) manakala Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memenangi sebarang kerusi.
Keputusan PRN kali ini turut menyaksikan kejutan apabila dua nama besar PH iaitu Pengerusi PH Negeri dan Menteri Besar Aminuddin Harun serta Setiausaha Agung DAP yang juga Pengerusi DAP Negeri Anthony Loke kalah di kerusi masing-masing.
Encik Aminuddin, merangkap Naib Presiden PKR, kalah di DUN Linggi manakala Encik Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, gagal mempertahankan DUN Chennah yang disandangnya sejak 2013 apabila tumpas di tangan calon tempatan daripada BN.
Encik Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kekalahan di DUN Linggi tidak pernah disesali, sebaliknya menganggap keputusan itu sebagai lumrah dalam politik.
Beliau berkata, sejak DUN Negeri Sembilan dibubarkan, keputusan muktamad telah diserahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar berdasarkan “kad laporan” sepanjang tempoh lapan tahun menerajui kerajaan negeri.
Sementara itu, Bersatu, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun berikutan krisis politik selepas 14 wakil rakyat daripada BN menarik sokongan terhadap kepimpinan Encik Aminuddin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.