PRN Negeri Sembilan: BN bertanding 25 kerusi, muktamadkan persefahaman dengan 'rakan dipercayai'
Gabungan Barisan Nasional (BN) Malaysia hanya akan bertanding bagi 25 daripada 36 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Pemimpin Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon-calon gabungan tersebut bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Stadium Paroi, pada 15 Julai 2026. (Gambar: Facebook/Dr Asyraf Wajdi Dusuki)
Baki 11 kerusi masih belum diumumkan calonnya sedang gabungan tersebut memuktamadkan persefahaman pilihan raya dengan seorang "rakan yang dipercayai", menurut laporan media tempatan.
Langkah itu diambil menyusuli kenyataan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) baru-baru ini yang memberi isyarat kesediaannya untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) - parti tunjang BN - dalam PRN pada 1 Ogos.
Hari Penamaan Calon bagi PRN Negeri Sembilan akan berlangsung pada Sabtu (18 Jul), diikuti dengan tempoh rasmi berkempen selama 14 hari.
"Akan ada satu lagi pengumuman kerana bagi pilihan raya negeri ke-16 ini, kita akan menjalinkan persefahaman dengan seorang rakan," kata Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, seperti yang dipetik akhbar Berita Harian, tanpa memberikan butiran lanjut.
"Kita sedang bekerjasama dengan rakan yang dipercayai, insya-Allah."
Beliau berkata demikian pada Rabu semasa majlis pengumuman calon-calon BN bagi PRN Negeri Sembilan. Beliau turut memaklumkan bahawa calon-calon bagi baki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan oleh "pihak satu lagi" pada Khamis.
Kerusi-kerusi tersebut ialah Klawang, Serting, Lobak, Sikamat, Ampangan, Bukit Kepayang, Mambau, Paroi, Lukut, Bagan Pinang dan Gemas, menurut laporan BH Online.
Pada hujung minggu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya bersedia menerima calon UMNO sebagai calon Menteri Besar sekiranya kerjasama antara kedua-dua parti itu dapat dimuktamadkan.
Beliau turut berkata bahawa rundingan dengan UMNO berhubung pengagihan kerusi berjalan dengan "amat positif".
Bagaimanapun, pada Isnin, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, menolak khabar angin bahawa wujudnya kerjasama antara BN dengan PAS bagi PRN Negeri Sembilan.
Perkembangan terkini itu juga menyusuli PRN Johor baru-baru ini, di mana PAS secara terbuka menggesa para penyokongnya untuk mengundi BN di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN), yang turut dianggotai PAS.
PERIKATAN NASIONAL BERDEPAN KETEGANGAN
Kemungkinan kerjasama antara UMNO dengan PAS di Negeri Sembilan berlaku sedang PN berdepan ketegangan dalaman.
Gabungan itu turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin berkata partinya akan meletakkan calon menggunakan lambangnya sendiri dan bukan lambang PN. Beliau berkata keputusan itu dibuat menyusuli langkah PAS yang bekerjasama dengan BN, selain mengetepikan BERSATU dalam perbincangan berhubung pengagihan kerusi.
Beliau turut memberi amaran bahawa BERSATU tidak akan menarik diri sekiranya parti tersebut berdepan dengan calon PAS dalam PRN Negeri Sembilan.
"Bukan kita mahu perkara ini berlaku. Mana mungkin PN berlawan dengan PN? Itu bukan sesuatu yang kita mahukan," kata beliau kepada pemberita pada Rabu, seperti yang dipetik Sinar Harian.
"Tetapi jika pencalonan kita sudah diterima dan berlakunya pertembungan, kita tetap akan bertanding."
Encik Muhyiddin berkata BERSATU tetap berpendirian bahawa segala keputusan berhubung dasar dan hala tuju PN perlu diputuskan terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi gabungan tersebut, yang masih belum bermesyuarat.
Beliau turut berkata bahawa mesyuarat yang dijadualkan pada 12 Julai bagi membincangkan pengagihan kerusi antara parti komponen turut ditangguhkan, menurut laporan Bernama.
Ketika ditanya sama ada penggunaan lambang sendiri menandakan bahawa BERSATU akan keluar daripada PN, Encik Muhyiddin berkata kedudukan parti itu dalam gabungan tersebut hanya akan diputuskan selepas pilihan raya pada 1 Ogos.
Mantan perdana menteri itu turut berkata senarai penuh calon BERSATU bagi pilihan raya negeri itu akan dimuktamadkan pada Khamis sebelum ia diumumkan pada Jumaat.
Pada Selasa, PN mengumumkan bahawa Parti Wawasan Negara (Wawasan), yang dipimpin mantan Timbalan Presiden BERSATU Hamzah Zainuddin, secara rasmi menyertai gabungan tersebut.
Encik Hamzah kemudian berkata parti itu berhasrat untuk bertanding di tiga atau empat kerusi dalam penampilan sulungnya pada PRN Negeri Sembilan.
CALON YANG SUDAH DIUMUMKAN SETAKAT INI
Sementara itu, BN mengumumkan calon-calonnya pada Rabu, dengan UMNO bertanding di 16 kerusi, Persatuan Cina Malaysia (MCA) tujuh kerusi dan Kongres India Malaysia (MIC) dua kerusi.
Encik Hasan, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, akan mempertahankan kerusi DUN Rantau yang disandangnya sejak 2004. Beliau kini merupakan Menteri Luar Malaysia.
Sehari sebelum itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan calon-calon Pakatan Harapan (PH) bagi kesemua 36 kerusi DUN.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 16 kerusi, manakala Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing akan meletakkan calon di 11 dan sembilan kerusi.
PH akan meletakkan Menteri Besar sementara Aminuddin Harun di kerusi Linggi, sekali gus memindahkannya dari kubu kuatnya di Sikamat. Turut diumumkan sebagai calon ialah Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang akan mempertahankan kerusi Chennah yang disandangnya sejak 2013.
Dalam PRN 2023, BN dan PH bertanding bersama di bawah panji kerajaan perpaduan.
Sebelum DUN yang mempunyai 36 kerusi itu dibubarkan, PH menguasai 17 kerusi manakala BN memegang 14 kerusi.
Kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri, sekali gus mencerminkan model perkongsian kuasa kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
PN pula menguasai baki lima kerusi, dengan PAS memegang tiga kerusi dan BERSATU dua kerusi.
Dalam perkembangan berasingan, Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin mantan menteri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan selepas mengalami kekalahan besar dalam PRN Johor.
Parti yang baru dilancarkan semula itu menyaksikan kesemua 15 calonnya hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi di setiap kerusi yang ditandingi.
Di sebalik perkembangan politik itu, PH dijangka berdepan gabungan BN dan PN dalam PRN Negeri Sembilan, meskipun BERSATU dilihat seakan-akan memilih haluannya yang tersendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.