Skip to main content

Dunia

PRN Negeri Sembilan: 401 pusat mengundi dibuka; lebih 859,000 pengundi tunai tanggungjawab

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Negeri Sembilan: 401 pusat mengundi dibuka; lebih 859,000 pengundi tunai tanggungjawab

Pasangan warga emas Lee Kim Liew (kanan) dan Lo Ah Ying (kiri) menunjukkan jari telunjuk masing-masing yang sudah bersalut dakwat kekal selepas menjalankan tanggungjawab mereka di pusat mengundi Duada pagi 1 Ogos 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Aug 2026 10:16AM
SEREMBAN: Sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu (1 Ogos), membolehkan 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan menentukan kerajaan negeri untuk penggal akan datang.

Proses pengundian dijadualkan diadakan hingga 6.00 petang ini, dengan pusat mengundi melibatkan sekolah, balai raya, dewan dan kolej.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 72 hingga 75 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka hari ini, manakala keputusan awal dijangka diumumkan seawal 10.00 malam dan keputusan penuh sebelum tengah malam.

Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 28 Julai lalu, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus ditetapkan SPR.

Sementara itu, tinjauan media tempatan di beberapa lokasi mendapati keadaan cuaca di kebanyakan kawasan adalah baik pada pagi Sabtu.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kebanyakan kawasan di tujuh daerah iaitu Seremban, Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin, Port Dickson dan Rembau dijangka cerah dari pagi hingga tengah hari.

Bagaimanapun, pada sebelah petang, kebanyakan kawasan di negeri itu dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon.
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita