Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRN Melaka: Perhatian tertumpu kepada prestasi UMNO, kepimpinan Ismail Sabri, kata pengamat

Walaupun Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 20 November tidak akan merubah kestabilan politik peringkat persekutuan, ia merupakan cabaran pilihan raya pertama bagi Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob, menurut seorang pengamat.

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Melaka: Perhatian tertumpu kepada prestasi UMNO, kepimpinan Ismail Sabri, kata pengamat

(Gambar fail: BERNAMA)

MALAYSIA: Walaupun Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 20 November tidak akan merubah kestabilan politik peringkat persekutuan, ia merupakan cabaran pilihan raya pertama bagi Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Perhatian akan tertumpu kepada prestasi UMNO dalam pilihan raya DUN Melaka serta kepimpinan beliau meskipun PM Ismail Sabri bukan Presiden parti terbesar Malaysia itu.

Mentelah lagi, pilihan raya negeri itu terpaksa diadakan akibat masalah dalaman parti UMNO sendiri.

Dengan UMNO akan bergerak sendirian bertanding dalam kesemua 28 kerusi nanti, pengamat sosiopolitik Profesor Madya Awang Azman Pawi berkata ia mungkin gambaran pada Pilihan Raya Umum seterusnya.

Beliau berkata demikian kepada BERITAmediacorp setelah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia hari ini (18 Okt) menetapkan pilihan raya akan diadakan pada 20 November dan Hari Penamaan Calon pada 8 November.

Pilihan Raya DUN Melaka diadakan selepas kerajaan tempatan yang lalu hilang sokongan majoriti dalam dewan tersebut berikutan tindakan empat anggotanya menarik balik sokongan mereka.

"Ia juga boleh membuktikan UMNO ini bangkit dalam konteks mereka boleh bergerak secara solo. Ini merupakan satu petunjuk sejauh mana UMNO ini mampu bangkit tanpa kerjasama dengan Bersatu.

"Sudah pasti tindak balas akan berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Melaka ini berlangsung. Sudah pasti ahli parlimen Bersatu dan PAS melakukan protes dalam konteks desakan politik dan sebagainya," kata beliau yang juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaya.

PILIHAN RAYA DI TENGAH-TENGAH COVID

Sementara itu, Profesor Awang percaya kerajaan Malaysia tidak akan melakukan kesilapan seperti di Pilihan Raya Sabah sebelum ini yang mencetuskan gelombang jangkitan COVID-19.

Kali ini, tambah beliau, kerajaan Malaysia pasti akan melaksanakan langkah pengurusan selamat yang lebih ketat serta memastikan para penduduk mematuhi peraturan atau SOP sedia ada.

Selain itu, Profesor Awang menambah kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa di Malaysia sudah melebihi 90 peratus.

Lantaran itu, Pilihan Raya DUN Melaka tidak membawa risiko yang tinggi untuk penularan meluas COVID-19.

Namun, beliau memberi amaran bahawa ia tidak pula bermakna ramai penduduk Melaka akan keluar mengundi.

Beliau menjelaskan: "Keutamaan rakyat sekarang adalah satu, ekonomi, kedua pula pekerjaan dan ketiga, kestabilan dalam masyarakat. Namun apabila tiba-tiba berlakunya Pilihan Raya Negeri Melaka ini, saya kira ramai kalangan rakyat Melaka itu kurang berpuas hati disebabkan ahli politik asyik berpolitik saja."

Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya DUN Melaka akan diadakan selama 20 hari. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan