Skip to main content

Dunia

PRN Melaka: Pengundi ingin lebih bantuan COVID-19; harap ahli politik kotakan janji

Pilihan Raya Negeri Melaka berlangsung Sabtu ini (20 Nov) dan parti-parti politik sudahpun mendedahkan manifesto masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Melaka: Pengundi ingin lebih bantuan COVID-19; harap ahli politik kotakan janji
Diterbitkan : 15 Nov 2021 08:48PM Dikemas Kini : 15 Nov 2021 08:49PM

MELAKA: Pilihan Raya Negeri Melaka berlangsung Sabtu ini (20 Nov) dan parti-parti politik sudahpun mendedahkan manifesto masing-masing.

Namun, para pengundi ditemui CNA berkata mereka inginkan lebih bantuan untuk menjalani kehidupan harian yang terjejas teruk dek COVID-19.

Mereka juga mahu ahli-ahli politik mengotakan janji yang dibuat apabila dipilih nanti.

Setelah berjam-jam pergi menangkap ikan di Selat Melaka, nelayan berusia 52 tahun, Encik Mohd Ali Abu Bakar, baru dapat dua ekor ikan merah.

"Laut cetek dan kawasan hendak tangkap ikan kena jauh-jauh pasal laut dah ditambak jadi lagi jauh kita kena pergi ke laut. Pasal dekat tidak ada ikan, dah ditambak pasir," Encik Ali.

Kehidupan nelayan seperti Encik Ali semakin susah sejak sekatan COVID-19, dengan banyak bot tidak dibaiki.

Lantaran itu, ramai nelayan berharap kerajaan baru Melaka nanti akan membantu mereka membina semula kehidupan.

Perikatan Nasional menjanjikan peluang untuk mempelbagaikan sumber rezeki manakala Barisan Nasional berikrar menubuhkan kerajaan yang stabil.

Semasa berkempen, rapat politik serta lawatan rumah ke rumah tidak dibenarkan dek pandemik COVID-19.

Namun, ramai penduduk kampung masih bimbang kemungkinan berlaku gelombang jangkitan baru.

"Semua golongan politik ini samalah. Ada keluar, semua kecewa pasal asyik hendak politik saja. Jadi kita sebagai rakyat pun pening kepala. Tenangkanlah dulu, kisah-kisah COVID-19 harus diselesaikan dulu baru masuk pilihan raya. Janganlah pentingkan politik ini, fikirkan tentang rakyat dahulu baru kita ceria kerana Malaysia," ujar Encik Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia berharap 70 peratus pengundi akan membuat pilihan mereka pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, sasaran itu mungkin tidak dapat dicapai memandangkan lebih 30 peratus pengundi Melaka bekerja di negeri-negeri Malaysia yang lain serta Singapura. 

Sumber : CNA/RU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita