PRN Johor: Tsunami pengundi Cina bantu kejayaan BN; PH perlu semak strategi
- PRN Johor 2026 menyaksikan BN menang besar, dengan DAP kehilangan empat kerusi dan MCA menggandakan kerusi kepada lapan.
- Peningkatan keluar mengundi kepada 68.73 peratus tidak memihak kepada PH, malah undi Cina beralih kepada BN, menurut Dr Tawfik Yaakub.
- Prestasi Onn Hafiz Ghazi dianggap faktor utama kejayaan BN, manakala PH disaran semak strategi menjelang PRN Negeri Sembilan dan PRU akan datang.
- Pemimpin seperti Anwar Ibrahim dan Onn Hafiz Ghazi menyeru rakyat Johor bersatu demi kestabilan dan pembangunan negeri selepas PRN.
JOHOR BAHRU: Tidak seperti yang dijangkakan, jumlah penduduk keluar mengundi yang lebih tinggi tidak berpihak kepada Pakatan Harapan.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, sebanyak 1,874,918 atau 68.73 peratus penduduk melaksanakan tanggungjawab mereka pada Sabtu (11 Jul).
Kadar itu lebih 13 peratusan mata berbanding PRN yang lalu.
PRN Johor 2026 menyaksikan DAP kehilangan 4 kerusi dan pengundi beralih kepada seteru tradisinya iaitu MCA sehingga komponen Barisan Nasional itu menggandakan jumlah kerusi kepada lapan.
Ini turut menyumbang kepada kemenangan lebih besar BN kali ini.
Pengamat politik, Dr Tawfik Yaakub menjelaskan, "Saya boleh kategorikan apa yang berlaku semalam sebagai tsunami politik Cina yang bermula di negeri Sabah dan kemudiannya merebak ke negeri Johor dan apabila kita mengkaji, menilai di beberapa buah kerusi termasuklah kerusi yang mendapat majoriti yang besar di Permas iaitu sehingga 29,000 undi."
"Majoriti itu menggambarkan bahawa ini bukan satu peralihan yang biasa tetapi sebenarnya signal, mesej terhadap kebanggaan ataupun kepuasan hati pengundi termasuklah pengundi Cina terhadap prestasi dan pencapaian Onn Hafiz Ghazi," tambah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya itu.
PH PERLU SEMAK STRATEGI MENJELANG PRN NEGERI SEMBILAN
Prestasi Onn Hafiz Ghazi juga disifatkan sebagai antara penyumbang terbesar kepada kejayaan BN dalam PRN kali ini.
Dr Tawfik juga berpendapat PH perlu memperbaiki strategi dalam mengatur langkah menempuhi PRN Negeri Sembilan minggu depan dan Pilihan Raya Umum akan datang.
"Apa yang berlaku di Johor ini turut memberi impak ataupun menjejaskan imej menjejaskan misalnya semangat dan motivasi kepada Pakatan Harapan kerana beberapa kubu penting kepada DAP. Kepada Pakatan Harapan misalnya di Perling itu serta beberapa kerusi yang lain itu telah jatuh ke tangan Barisan Nasional," kata Dr Tawfik.
"Meskipun persaingan ini melibatkan rakan rakan dalam kerajaan perpaduan, namun sedikit sebanyak sebenarnya memberi impak ataupun kesan terhadap psikologi motivasi dan pada waktu yang sama kerajaan khususnya daripada PKR daripada DAP termasuklah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melihat bahawa perlu ada perubahan strategi taktikal politik selepas ini," tambahnya.
Dalam catatannya di media sosial, Anwar Ibrahim menyeru para calon PH untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat.
Beliau berkata kerajaan persekutuan pimpinannya kekal komited untuk memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor.
RAKYAT DISERU KEMBALI BERSATU LEPAS PRN
Untuk meneruskan agenda kemajuan Johor ini, rakyat diseru untuk bersatu semula bagi kestabilan dan kemakmuran dengan pesta demokrasi di Johor ini melabuhkan tirainya.
Menteri Besar Johor, Dr Onn Hafiz Ghazi berkata, "Bila kita dah menang, tuan puan bangsa Johor yang saya kasihi kita akan jaga semua bangsa -Melayu, Cina, India, Orang Asli. Kita semua bangsa Johor."
"Sama-sama kita rapatkan saf, kita buang yang keruh kita ambil yang jernih. Musim Pilihan Raya negeri Johor sudah berakhir. Sekarang tanggungjawab kita adalah untuk membina Johor yang kita semua dambakan yang kita semua impikan bersama," katanya selepas memenangi kerusi DUN Machap.
Setelah kejayaan di Johor, jentera BN kini menumpukan perhatian bagi persiapan PRN Negeri Sembilan pula.
Hari Penamaan Calon akan berlangsung pada 18 Julai dan Hari Mengundi pula pada 1 Ogos 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.