PRN Johor: SPR puas hati kelancaran proses pengundian
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati terhadap keseluruhan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu (11 Jul) dengan pengundi berdaftar dapat menunaikan hak serta tanggungjawab mereka.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ramlan Harun, pada sidang media berhubung keputusan penuh bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada 12 Julai 2026. (Gambar: Bernama)
- SPR berpuas hati dengan kelancaran proses PRN Johor ke-16 yang berlangsung pada 11 Julai, dengan 68.73 peratus pengundi keluar mengundi.
- Keputusan penuh diumumkan pada 12.50 tengah malam, menyaksikan BN memenangi 48 kerusi dan PH 8 kerusi DUN.
- SPR bercadang meneruskan paparan keputusan tidak rasmi untuk ketelusan, menggunakan data Borang 14 yang dikongsi bersama ejen calon.
- SPR juga meneliti isu gambar kertas undi di media sosial dan menegaskan peraturan larangan penggunaan telefon bimbit dalam bilik mengundi.
Pengerusi SPR Ramlan Harun berkata tiada sebarang perkara tidak diingini yang boleh menjejaskan proses pilihan raya berlaku dan keputusan penuh diperoleh pada pukul 12.50 tengah malam selepas selesai proses penjumlahan undi di semua kerusi yang dipertandingkan.
"Pada PRN Johor ke-16 ini, sebanyak 1,874,918 pengundi atau 68.73 peratus telah keluar mengundi. Jumlah tersebut meliputi pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa," kata beliau pada sidang media pengumuman keputusan rasmi di Johor Bahru, pada tengah malam, 12 Julai.
Dalam perkembangan lain, Encik Ramlan berkata SPR bercadang untuk meneruskan inisiatif paparan dan “grandstand” bagi menyalurkan keputusan tidak rasmi pilihan raya selepas menerima maklum balas positif sejak ia diperkenalkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan.
Beliau berkata pendekatan itu dilaksanakan bagi membolehkan orang ramai memperoleh maklumat keputusan pilihan raya dengan lebih cepat dan telus memandangkan data yang dikongsi bukan bersifat rahsia.
"Maklumat (keputusan tidak rasmi) berkenaan diperoleh daripada Borang 14 yang turut dikongsi dengan ejen-ejen calon, sekali gus memastikan ketelusan dalam proses pengumuman keputusan," kata beliau.
Bagaimanapun, Encik Ramlan berkata SPR akan meneliti dari semasa ke semasa sekiranya timbul sebarang isu berkaitan pelaksanaan pendekatan itu, namun setakat ini ia dilihat memberi banyak manfaat kepada semua pihak.
Sementara itu, beliau berkata SPR akan meneliti dengan lebih terperinci tindakan segelintir individu yang memuat naik gambar kertas undi yang sudah dipangkah ke media sosial bagi memastikan perkara itu tidak berulang pada pilihan raya akan datang.
Encik Ramlan berkata pihaknya mengambil maklum mengenai beberapa gambar yang tular, namun tidak dapat mengesahkan sama ada gambar berkenaan benar-benar dirakam di dalam bilik mengundi.
"Kita ada melihat beberapa gambar yang dimuat naik ke media sosial. Kita tidak dapat memastikan sama ada gambar-gambar itu memang diambil dalam bilik mengundi, perkara ini akan kita teliti dengan lebih terperinci," kata Encik Ramlan.
Beliau berkata SPR menetapkan peraturan bahawa para pengundi perlu meletakkan telefon bimbit masing-masing di dalam kotak yang disediakan sebelum proses pengundian.
PRN Johor ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan manakala baki lapan lagi kerusi dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.