Skip to main content

Dunia

PRN Johor: SPR jangka 70% keluar mengundi

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: SPR jangka 70% keluar mengundi

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya meninjau proses semakan kotak undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian dan Dewan Serbaguna Permas. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Jul 2026 10:49PM
  • SPR menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRN Johor berdasarkan minat tinggi rakyat dan kempen aktif.
  • Pengerusi SPR Ramlan Harun menyatakan 2.7 juta pengundi layak mengundi di 1,076 pusat mengundi seluruh negeri.
  • Proses pengundian bermula 8 pagi dengan waktu penutupan berbeza mengikut lokasi, termasuk beberapa pulau yang tutup lebih awal.
  • SPR menegaskan logistik dan penghantaran peti undi telah dirancang rapi dengan bantuan polis dan ATM untuk kelancaran proses.
Dijana oleh AI
PONTIAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu (11 Jul) mampu mencecah kira-kira 70 peratus didorong minat yang tinggi rakyat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi.

Pengerusi SPR Ramlan Harun berkata unjuran itu dibuat berdasarkan sambutan sepanjang tempoh berkempen, yang menunjukkan keterujaan orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Kita melihat ada kecenderungan, minat mengundi pada kali ini agak tinggi, dengan kempen-kempen yang berterusan SPR menjangkakan jumlah pengundi boleh mencapai kira-kira 70 peratus," katanya kepada para wartawan selepas meninjau proses semakan peti undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian dan Dewan Serbaguna Permas pada Jumaat (10 Jul).

Mengulas lanjut, Encik Ramlan berkata selain faktor kempen yang rancak, kesedaran rakyat terhadap pentingnya proses pilihan raya turut menjadi pemangkin kepada jangkaan berkenaan.

"Saya rasa (terdapat) keseronokan yang tinggi dalam kalangan rakyat sejak akhir-akhir ini (dan) minat untuk turut terlibat dalam proses ini," katanya.

Encik Ramlan berkata kira-kira 2.7 juta pengundi layak mengundi pada PRN Johor kali ini, yang melibatkan 1,076 pusat mengundi dan 4,889 saluran di seluruh negeri.

Beliau berkata proses pengundian akan bermula pada pukul 8.00 pagi dengan waktu penutupan pusat mengundi berbeza mengikut lokasi, manakala sebahagian besar pusat mengundi akan ditutup pada pukul 6.00 petang.

"Ada yang ditutup pada 11.00 pagi, iaitu paling awal di Pulau Besar, kira-kira setengah jam dari Mersing. Pada 12.00 tengah hari, kita ada dua tempat, iaitu di Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

"Terdapat 17 pusat mengundi yang ditutup pada 2.00 petang, sebanyak 42 pusat ditutup pada 4.00 petang.dan 1,114 pusat ditutup pada 6.00 petang," katanya.

Beliau berkata sebanyak 43,036 petugas dikerahkan bagi mengendalikan proses pengundian, manakala sebanyak 24,677 kertas undi pos dikeluarkan dan perlu diterima semula sebelum 6.00 petang esok.

Beliau berkata SPR turut memberikan jaminan aspek logistik, termasuk penghantaran peti undi dari kawasan pulau, telah dirancang rapi dengan pelan kontingensi serta kerjasama polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi sebarang situasi luar jangka.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita