PRN Johor: SPR giat jalankan persiapan, pastikan proses mengundi lancar
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninjau proses semakan kotak undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian dan Dewan Serba Guna Permas, Kukup pada 10 Julai 2026. (Gambar: BERNAMA)
- SPR Johor melaksanakan persiapan akhir di pusat mengundi dan penjumlahan undi bagi Pilihan Raya Negeri ke-16 pada 11 Julai.
- Pengerusi SPR Ramlan Harun memaklumkan semakan rapi peralatan dan peti undi telah dilakukan di semua 56 kerusi DUN untuk memastikan kelancaran proses mengundi.
- Petugas SPR menyediakan kemudahan seperti kerusi roda dan memastikan keselesaan pengundi warga emas, orang muda serta orang kurang upaya di pelbagai lokasi seluruh Johor.
- PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon daripada pelbagai parti dan calon Bebas bertanding, dengan logistik mencabar di kawasan pulau turut diuruskan bersama kawalan polis.
Pengerusi SPR Ramlan Harun berkata semakan rapi terhadap peti undi dan peralatan pilihan raya bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dilakukan untuk memastikan segala keperluan berada dalam keadaan lengkap dan sedia digunakan.
Beliau berkata proses berkenaan merupakan antara prosedur paling penting bagi menjamin kelancaran hari mengundi, sekali gus memudahkan sebanyak 2.7 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
“Setakat ini, saya difahamkan hampir semua Pegawai Pengurus (RO) telah melaksanakan tugas di 56 pusat di seluruh negeri Johor. Alhamdulillah, proses berjalan dengan amat lancar,” katanya kepada para wartawan selepas meninjau proses semakan peti undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian dan Dewan Serba Guna Permas, Kukup pada Sabtu.
Encik Ramlan turut mengingatkan semua pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan bagi mengelakkan kesesakan, selain membawa kad pengenalan serta mematuhi arahan petugas di pusat mengundi.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara mendapati petugas SPR sibuk melakukan kerja-kerja pelabelan, penyusunan kerusi dan meja serta pemasangan papan tanda arah di pusat mengundi berkenaan.
Penyelia pusat mengundi bagi DUN Puteri Wangsa, Mohd Rasib Ngadiman berkata persiapan menukar 12 bilik darjah sebagai saluran mengundi berjalan lancar dengan bantuan 74 petugas SPR dan kawalan 12 anggota polis.
"SPR pada masa yang sama turut menyediakan kemudahan kerusi roda untuk warga emas dan pengundi Orang Kurang Upaya," katanya.
Di Kluang, penyelia pusat mengundi SK Kampong Melayu, Kamarul Zaman Ahmad berkata persiapan yang dibantu 30 petugas dilaksanakan dengan penuh teliti bagi menyediakan lima saluran untuk menampung kira-kira 3,000 pengundi bagi DUN Mahkota.
Suasana serupa turut kelihatan di Batu Pahat, dengan persiapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng memberikan tumpuan khusus kepada aspek keselesaan saluran bagi pengundi warga emas, orang muda serta orang kurang upaya.
Sementara itu, di Mersing, logistik mencabar dihadapi petugas SPR yang melaksanakan operasi penghantaran peti undi ke empat pulau di DUN Tenggaroh, iaitu Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi menerusi Jeti Mersing.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tenggaroh Jamil Hasni Abdullah berkata operasi tersebut melibatkan kira-kira 50 petugas dengan iringan ketat anggota Pasukan Polis Marin dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing bagi menjamin keselamatan aset pilihan raya berkenaan.
PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN, dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mempertaruhkan calon di kesemua kerusi.
Turut bertanding ialah Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan 33 calon, Parti Bersama Malaysia (Bersama) (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat), manakala Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon, selain enam calon Bebas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.