Skip to main content

Dunia

PRN Johor: Saingan lebih sengit, apakah strategi parti-parti pembangkang?

Kempen dalam Pilihan Raya Negeri Johor selama 14 hari kini di pertengahan jalan.

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: Saingan lebih sengit, apakah strategi parti-parti pembangkang?

Bendera-bendera parti berkibaran menjelang PRN Johor.

Diterbitkan : 03 Jul 2026 09:45PM Dikemas Kini : 03 Jul 2026 09:46PM
JOHOR BAHRU: Kempen dalam Pilihan Raya Negeri Johor selama 14 hari kini di pertengahan jalan.

Tiga parti gabungan – Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional mendapat perhatian utama.

Sementara parti-parti kecil pula cuba mencuri perhatian.

172 calon yang bertanding kini bersaing hebat menambat hati pengundi.

Dari Barisan Nasional, mesej mereka satu – lanjutkan kemajuan yang diraih sejak empat tahun lalu.

Parti-parti pembangkang bertekad untuk bersaing habis-habisan.

Pakatan Harapan percaya lanskap politik kali ini berbeza dengan tahun 2022.

Di kala itu, PH hanya menang 12 kerusi dengan jumlah pengundi yang rendah berikutan pandemik COVID-19.

Diburukkan lagi dengan banyaknya persaingan berbilang penjuru memecahkan undi.

Kali ini, PH bertanding kesemua 56 kerusi – 14 satu-lawan-satu dengan BN.

Parti gabungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim percaya keputusan kali ini akan lebih baik dengan jumlah pengundi yang lebih ramai dan juga efek positif kepimpinan kerajaan federal.

"Hasil kejayaan ialah, senario terbaik ialah jika kami dapat apa yang kami capai pada Pilihan Raya Umum tahun 2022 - berdasarkan hasil Pilihan Raya Umum.

"Jika kami bahagikan undi kepada Dewan Undangan Negeri atau kerusi DUN, Pakatan Harapan menang sekitar 30 kerusi," kata Pengarah Pilihan Raya, Pakatan Harapan, Amirudin Shaari.

Perikatan Nasional pula bertanding untuk 33 kerusi, mengajukan naratif sebagai pembangkang yang kuat – semak dan imbang.

Malangnya kempen PN diselubungi perpecahan dalaman.

PAS putuskan kerjasama dengan Bersatu dan akan berkempen secara bersendirian walaupun masih di bawah panji-panji PN.

Para pemimpin PN cuba meyakinkan pengundi, retak tidak akan menjadi belah.

"Hubungan kami itu bukan hubungan disebabkan oleh parti tapi lebih kepada kita persaudaraan kita di bawah payung Perikatan Nasional. Jadi saya rasa tidak ada isu.

"Kerana itu, pimpinan pusat. Pusat mungkin ada masalah. Tapi kami di bawah di Johor, kami tak ada masalah," kata Ketua Bersatu bagi Johor, Dr Sahruddin Jamal.

Beberapa parti-parti kecil pula berharap mereka berupaya menarik perhatian.

MUDA mempertahankan satu kerusi yang dimenangi pada 2022 serta bertanding di tiga lagi kawasan.

BERSAMA – parti pimpinan mantan menteri ekonomi Rafizi Ramli – turut menaruh harapan, bertanding dalam 15 kawasan.

"Jadi kita perlu realistik dalam keadaan bersama hanya 44 hari tanding pun 15 kerusi maka matlamat bersama dalam pilihan raya ini adalah sangat jelas untuk menjadi pembangkang yang berfungsi, yang cekap dan juga yang berkelayakan," kata Ketua BERSAMA, Rafizi Ramli.

Para pengamat politik berpendapat jumlah parti pembangkang yang bertambah memberi pilihan luas.

Namun, ia juga bermakna saingan lebih sengit.

Sementara Barisan Nasional mempertahankan rekod pemerintahannya para pembangkang – masing-masing menyeru ke arah perubahan.

Itulah yang harus ditentukan oleh para pengundi Johor pada 11 Julai nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/AA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita