Skip to main content

Dunia

PRN Johor: PM Anwar perkukuh kempen PH menerusi siri jelajah di 3 lokasi utama pada 9 Jul

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim akan terus menyemarakkan kempen calon-calon gabungan tersebut pada Khamis (9 Jul) menerusi siri jelajah di tiga lokasi utama di sekitar Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: PM Anwar perkukuh kempen PH menerusi siri jelajah di 3 lokasi utama pada 9 Jul

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 08:04AM
JOHOR BAHRU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim akan terus menyemarakkan kempen calon-calon gabungan tersebut pada Khamis (9 Jul) menerusi siri jelajah di tiga lokasi utama di sekitar Johor.

Menerusi satu catatan di laman Facebook pada Rabu, beliau menyeru seluruh warga Johor untuk hadir memberikan sokongan kepada siri kempen berkenaan sebelum tempoh berkempen tamat pada Jumaat, tengah malam.

“Esok sekali lagi akan berada di Johor bagi memberikan dukungan buat calon-calon serta jentera Harapan. 

“Saya mengajak seluruh warga Johor untuk turut serta. Semoga dipermudah, insya-Allah,” kata Encik Anwar.

Menerusi jadual yang dikongsikan, Encik Anwar akan memulakan siri jelajah di daerah Batu Pahat dengan menghadiri pentas Grand Finale Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang di pekarangan Mediwell Pharmacy Banang Jaya pada pukul 8.05 malam.

Presiden PKR itu kemudian dijadual bergerak ke DUN Rengit bagi menjayakan “Ceramah PMX” di Dewan Orang Asli Rengit, Batu Pahat pada pukul 8.50 malam.

Encik Anwar seterusnya akan mengakhiri siri jelajah itu di kawasan Johor Selatan menerusi program Grand Finale Harapan Johor Selatan bagi DUN Puteri Wangsa di Padang Awam Taman Pelangi Indah di Johor Bahru pada pukul 10.35 malam.

Tempoh kempen PRN Johor ke-16, yang bermula pada 27 Jun lalu, dijadualkan berakhir pada pukul 11.59 malam pada 10 Julai.

Sebanyak 2.7 juta pemilih biasa yang layak dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Sabtu untuk memilih 56 wakil rakyat bagi penggal akan datang.

Edisi kali ini menyaksikan persaingan membabitkan 56 calon masing-masing daripada PH dan Barisan Nasional (BN), selain Perikatan Nasional (33), Parti Bersama Malaysia (15) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (empat).

Turut bertanding ialah calon daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta enam calon Bebas.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita