PRN Johor: PM Anwar hormati mandat rakyat, semua calon PH diseru terus berkhidmat
Encik Anwar Ibrahim, merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, lapor Astro Awani.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, ucap tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026. (Gambar: Bernama)
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, mandat yang diterima tersebut perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Kata beliau lagi, dengan berakhirnya proses pilihan raya, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Johor.
“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirai.
"Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat dan bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” kata Encik Anwar dalam satu catatan di Facebook, pada Sabtu (11 Jul).
Pada masa sama, Encik Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pengundi Johor yang menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian, selain menghargai pengorbanan jentera parti yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Mengulas prestasi PH, Encik Anwar menegaskan semua calon gabungan itu, sama ada yang menang atau kalah, diminta agar meneruskan khidmat kepada masyarakat dan mendengar suara rakyat.
“Tekad kami jelas, semua calon HARAPAN, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat,” kata Encik Anwar, seperti yang dipetik Astro Awani.
Beliau turut memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan terus komited memastikan agenda pembangunan Johor tidak terjejas, malah akan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.
Setakat pukul 11.45 malam pada Sabtu, PH secara rasmi hanya memperoleh enam kerusi daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lapor Astro Awani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.