PRN Johor: PH sudah muktamadkan agihan kerusi ditandingi
Pakatan Harapan (PH) sudahpun memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi setiap parti komponennya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

(Gambar: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) sudahpun memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi setiap parti komponennya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada Isnin lalu (24 Jan) gabungan itu memutuskan Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing akan bertanding 20 kerusi manakala DAP 16 kerusi.
Bagaimanapun, kata beliau, senarai calon masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan pada masa ini.
"Namun dalam masa sama, kita juga masih membuka ruang perbincangan bersama mana-mana parti lain sekiranya mereka mahu menjalin kerjasama bersama PH dalam PRN Johor ini.
"Jika dengan penyertaan mereka boleh meningkatkan lagi peluang kemenangan kepada PH, ketiga-tiga pucuk pimpinan parti akan mengadakan perbincangan secara bersama," katanya kepada wartawan di Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini (27 Jan).
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.
Beliau berkata perbincangan berhubung kerjasama dengan parti-parti lain seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih berjalan dan keputusan perbincangan akan diketahui dalam masa sehari dua ini.
Sementara itu, Encik Aminolhuda berkata senarai calon parti itu yang akan bertanding telahpun siap dan hanya menunggu pengesahan daripada kepimpinan pusat.
Menurut beliau, daripada 20 kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah, 14 akan ditandingi calon muka baru yang sebahagiannya adalah calon muda.
Berhubung keputusan Majlis Presiden PH membenarkan PKR menggunakan logo sendiri semasa PRN Johor, Encik Mohamad berkata ia tidak akan mengelirukan pengundi kerana logo PKR dan logo PH sudah sinonim kepada pengundi di negeri itu.
"Jadi bagi saya, tiada masalah membenarkan PKR menggunakan logo mereka sendiri dalam mewakili PH di kawasan ditandingi calon mereka," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.