Skip to main content

Dunia

PRN Johor: PH selesai muktamadkan rundingan kerusi

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: PH selesai muktamadkan rundingan kerusi

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail. (Gambar: BERNAMA)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 07 Jun 2026 06:48AM
BATU PAHAT: Rundingan kerusi antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dimuktamadkan pada Sabtu (6 Jun), kata Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata proses itu berjaya dicapai hasil rundingan yang melibatkan pimpinan parti Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). 

"Saya nak sebut, baru sebentar tadi, petang tadi, kita telah selesaikan rundingan semua kerusi antara parti-parti PH. Terima kasih Abang Mat Sabu (Presiden Amanah Mohamad Sabu), terima kasih saudara Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP)," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH bagi PRN Johor yang turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Anwar Ibrahim. 

Encik Saifuddin Nasution yang juga Naib Presiden PKR berkata beberapa perincian akhir berhubung pembahagian kerusi akan diserahkan kepada kepimpinan PH Johor yang diketuai Pengerusinya Aminolhuda Hassan, yang juga Pengerusi Amanah Johor.

Beliau berkata dengan selesainya rundingan kerusi itu, tumpuan PH kini beralih kepada persiapan jentera pilihan raya termasuk gerak kerja di lapangan, penyusunan logistik serta penyampaian mesej yang tepat kepada pengundi bagi memastikan kemenangan PH di Johor.

Dalam pada itu, Encik Saifuddin Nasution turut menyelar tindakan pihak tertentu yang masih menggunakan politik identiti dan perkauman demi meraih sokongan politik.

“Taktik menakut-nakutkan rakyat kononnya kaum tertentu akan kehilangan kuasa atau agama sedang terancam merupakan 'politik ketakutan' yang sengaja direka untuk memecahbelahkan masyarakat.

“Saudara, Melayu, Cina, India ialah kebanggaan kita. Kita tidak diminta lahir sebagai Melayu, sebagai Cina, sebagai India, tidak. Itu fitrah yang telah pun diberikan kepada kita.

“Kerana itu pendekatan PH ialah bukan 'us versus them' (kita lawan mereka). Pendekatan politik kita ialah kita semua bersama,” katanya.

Sebelum ini, PH mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN di Johor pada PRN akan datang. 

Pada PRN lalu, PH memenangi 12 kerusi, Barisan Nasional (40), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA satu kerusi. 
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita