PRN Johor: Percubaan PAS jalin semula hubungan dengan UMNO gagal, kata Muhyiddin
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muhyiddin Yassin, bercakap semasa temu bual bersama Mediacorp di Muar, Johor, pada 5 Julai 2026. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Kenyataan beliau dibuat ketika Perikatan Nasional (PN), yang dianggotai PAS dan BERSATU, berdepan ketegangan dalaman menjelang pilihan raya Johor berhubung sejauh mana gabungan pembangkang itu perlu bekerjasama dengan seteru lamanya, Barisan Nasional (BN).
UMNO merupakan parti tunjang BN dan Johor dianggap kubu kuatnya. UMNO dan PAS juga merupakan dua parti Melayu-Islam terbesar di Malaysia.
"Saya difahamkan sebelum pilihan raya bermula lagi, PAS cuba memujuk UMNO untuk bekerjasama, tetapi gagal," kata Encik Muhyiddin dalam temu bual bersama Mediacorp pada Ahad (5 Jul).
"Jadi apabila disebut mengenai kerjasama, ia telah gagal. Namun PAS tidak akan berhenti daripada terus berusaha mendekati UMNO. Namun sehingga hari ini mereka masih belum berjaya," tambah Presiden BERSATU berusia 79 tahun itu.
Beliau mendakwa PAS dan UMNO gagal mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi.
Kempen PRN Johor kini memasuki separuh kedua, dengan BN dan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertanding di kesemua 56 kerusi walaupun kedua-duanya merupakan rakan dalam Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, walaupun hubungan mereka retak, calon PAS dan BERSATU tetap bertanding menggunakan lambang PN. PAS bertanding 16 berusi manakala BERSATU bertanding di 11 kerusi.
PAS secara sepihak memutuskan hubungan dengan BERSATU bulan lalu dengan mendakwa parti itu semakin "gila kuasa" dan gagal mengutamakan perpaduan Melayu/Islam.
Langkah tersebut membuka ruang kepada PAS mencari kerjasama politik baharu yang berpotensi mengubah landskap politik dalam pilihan raya negeri akan datang dan akhirnya pilihan raya umum, menurut para penganalisis sebelum ini.
HUBUNGAN PAS-BERSATU MASIH TIDAK MENENTU
Menjelang hari penamaan calon, media Malaysia melaporkan kemungkinan terjalin kerjasama antara PAS dan UMNO.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man secara terbuka menggesa UMNO bekerjasama dan menyatakan kesediaan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional.
Bagaimanapun, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi kemudian menegaskan BN akan bertanding secara bersendirian tanpa sebarang kerjasama dengan parti lain, sekali gus memberi isyarat rundingan itu gagal.
Mediacorp difahamkan BN pernah menawarkan kepada seorang calon PAS untuk bertanding di Muar menggunakan tiket dan lambang BN, namun tawaran itu ditolak oleh kepimpinan PAS.
Walaupun begitu, PAS terus menunjukkan isyarat muhibah, termasuk menggesa ahlinya mengundi BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut menegaskan parti itu tidak mahu Johor diperintah oleh "golongan liberal atau bukan Islam", sekali gus menguatkan lagi spekulasi mengenai kerjasama lebih erat dengan UMNO.
Sebaliknya, Encik Muhyiddin berkata penyokong BERSATU bebas mengundi mana-mana parti di kerusi yang tidak ditandingi PN, sekali gus menunjukkan perbezaan pendekatan dengan PAS.
Ditanya sama ada keadaan itu boleh mengelirukan penyokong PN, beliau mengakui mungkin wujud "sedikit kekeliruan" berikutan masalah yang dihadapi PAS dan BERSATU dalam PN, namun menegaskan kerjasama kedua-dua parti masih diteruskan untuk pilihan raya Johor.
"Kami (BERSATU) hanya memberi tumpuan untuk memenangi 16 kerusi yang kami tandingi. Mujurlah kami hanya berdepan PH dan BN. Kami tidak bertembung sesama sendiri, iaitu PAS menentang BERSATU.
"Jadi dari satu sudut, ia membantu kami," katanya.
BERSATU SASAR TAWAN JOHOR PADA MASA HADAPAN
Sejak PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU, Encik Muhyiddin menegaskan partinya tidak akan meninggalkan PN, namun bersedia "bersaing di semua medan" menentang bekas sekutunya itu.
Kedua-dua parti turut saling berbalas kenyataan menyusuli pelantikan semula Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang Malaysia.
Encik Hamzah, yang sebelum ini merupakan Timbalan Presiden BERSATU, dipecat pada Februari lalu menyusuli pergolakan dalaman parti.
Beliau kemudian melancarkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pada Jun lalu, manakala pelantikannya sebagai Ketua Pembangkang menimbulkan persoalan mengenai kedudukan BERSATU dalam PN.
BERSATU memenangi 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2022, namun jumlah itu semakin berkurangan.
Ia merosot kepada 25 kerusi selepas enam Ahli Parlimennya dipecat kerana menyokong pentadbiran Encik Anwar Ibrahim, sebelum berkurangan lagi kepada 19 kerusi menyusuli pemecatan Encik Hamzah dan penyokongnya.
Walaupun jumlah rasmi kekal sedemikian, laporan media menyatakan bilangan Ahli Parlimen BERSATU yang masih menyokong Encik Muhyiddin adalah lebih rendah.
Encik Muhyiddin berkata kepimpinan BERSATU melihat pilihan raya Johor sebagai kayu ukur bagi menentukan hala tuju parti dalam "konteks landskap politik baharu".
"Saya mahu melihat sejauh mana BERSATU berjaya menawan hati dan pemikiran rakyat.
"Apa juga keputusannya nanti akan memberi petunjuk yang sangat jelas tentang hala tuju kami, bukan sahaja di Johor tetapi juga di negeri-negeri lain. Pilihan raya akan diadakan di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan selepas itu pilihan raya umum," katanya.
Beliau berkata BERSATU juga berusaha mengubah imej parti serta menarik sokongan bukan Islam, sesuatu yang selama ini menjadi cabaran berikutan hubungannya dengan PAS.
Atas tujuan itu, BERSATU meminda perlembagaannya bagi membolehkan bukan Islam menyertai majlis pimpinan tertinggi parti serta menubuhkan sayap pelbagai kaum dikenali sebagai Bersekutu yang menerima ahli bukan Bumiputera.
"Jadi kami bukan hanya bercakap mengenai orang Melayu, tetapi mengenai rakyat Malaysia. Saya percaya perkara ini amat penting dari segi ideologi kami," katanya.
Encik Muhyiddin mempunyai pengaruh kuat di utara Johor selepas menjadi Ahli Parlimen Pagoh selama hampir empat dekad.
BERSATU kini mempertahankan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, iaitu Bukit Kepong dan Endau.
Beliau berkata dengan PN bertanding di 33 daripada 56 kerusi, termasuk 16 kerusi yang ditandingi BERSATU, matlamat utama parti itu bukan untuk membentuk kerajaan negeri, sebaliknya memperkukuh kedudukannya di Johor.
Encik Muhyiddin mengakui BN masih mempunyai asas sokongan yang kukuh di negeri itu, sesuatu yang menurutnya turut dibina ketika beliau menyertai UMNO dari 1971 hingga 2016 sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah Najib Razak.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan BERSATU mampu merampas Johor daripada BN dan UMNO pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, kerajaan negeri BN ketika ini masih mempunyai kelemahan walaupun berjaya menarik pelaburan dan mencatat pertumbuhan ekonomi.
Beliau mendakwa pendapatan rakyat Johor tidak meningkat seiring dengan inflasi, selain golongan muda tidak diberi latihan mencukupi untuk pekerjaan dalam bidang teknologi yang penting bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Encik Muhyiddin turut menyentuh isu pembangunan yang tidak seimbang dengan memberi contoh kemerosotan sektor pelancongan dan kemudahan asas seperti hotel di Kota Tinggi yang disaksikannya sepanjang berkempen.
Beliau berkata isu ekonomi, kos sara hidup, jagaan kesihatan dan pendidikan akan terus menjadi tumpuan BERSATU.
"Kami percaya isu yang penting kepada setiap rakyat Malaysia ialah ekonomi, kos sara hidup yang tinggi, jagaan kesihatan, pendidikan dan banyak lagi.
"Kami tidak akan mengabaikan apa-apa aspek bagi memastikan semua perkara yang menyentuh kehidupan rakyat Malaysia diberi perhatian," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.