Skip to main content

Dunia

PRN JOHOR: Pelan Induk JS-SEZ tidak perlu kelulusan Singapura, kata Onn Hafiz

Anggaran Waktu Membaca:
PRN JOHOR: Pelan Induk JS-SEZ tidak perlu kelulusan Singapura, kata Onn Hafiz

Menteri Besar sementara Johor Onn Hafiz (kanan) pada Khamis (2 Jul) meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan pengumuman JS-SEZ bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negeri terus diperkukuh. (Gambar: BHarian Online)

Diterbitkan : 04 Jul 2026 06:02PM Dikemas Kini : 04 Jul 2026 06:52PM
JOHOR BAHRU: Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan dokumen kerajaan Malaysia yang tidak memerlukan kelulusan atau tandatangan pemerintah Singapura sebelum ia boleh dilancarkan, kata Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.

Sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu, Encik Onn Hafiz berkata dakwaan bahawa pelan induk tersebut memerlukan tandatangan perdana menteri Malaysia dan Singapura sebelum boleh dilancarkan adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"Hakikatnya, Pelan Induk JS-SEZ merupakan dokumen Kerajaan Malaysia. Ia tidak memerlukan kelulusan pemerintah Singapura, sebaliknya hanya proses libat urus dan maklum balas daripada pihak Singapura, yang telah selesai dilaksanakan.

"Yang tinggal ketika ini ialah pelancaran oleh kementerian berkaitan atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya menerusi catatan di media sosial, pada Sabtu (4 Jul), seperti yang dinukil Astro Awani.

Beliau menambah bahawa kenyataan Encik Anwar itu memberi gambaran seolah-olah pelan induk tersebut masih perlu menunggu kelulusan semasa Rahat Pemimpin dan seterusnya memerlukan tandatangan perdana menteri kedua-dua negara.

Encik Onn Hafiz berkata beliau membangkitkan perkara itu bukan untuk mengkritik atau menyalahkan mana-mana pihak, tetapi bagi memastikan inisiatif yang memberi manfaat kepada negeri itu dapat dilaksanakan mengikut jadual.

"Ramai pelabur yang menantikan pelancaran pelan induk ini. Ia penting bagi memberikan keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur dalam JS-SEZ, sekali gus membawa manfaat kepada Johor dan negara secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata ramai pelabur telah bertanya mengenai pelan induk tersebut dan menantikan pelancarannya dengan penuh harapan. Menurutnya, pelan itu akan memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada pelabur untuk terus melabur dalam JS-SEZ, sekali gus membawa manfaat kepada Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia.

Encik Onn Hafiz turut mengingatkan Encik Anwar mengenai implikasi kenyataan beliau, yang menurutnya bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat Malaysia, malah juga kepada para pelabur.

"Saya menghormati kedudukan Perdana Menteri dan berpandangan bahawa setiap kenyataan yang dibuat perlu bersandarkan kepada fakta yang tepat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pelabur," menurutnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa perkara itu mempunyai implikasi bukan sahaja kepada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor, tetapi juga kepada pelabur yang telah melabur atau sedang mempertimbangkan untuk melabur dalam JS-SEZ.

Pada Jumaat (3 Jul), Encik Anwar dilaporkan mengkritik Encik Onn Hafiz kerana didakwa menggunakan JS-SEZ sebagai bahan kempen untuk pilihan raya Johor.

Encik Anwar dilaporkan berkata bahawa projek tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri, dan bahawa proses pemeteraian perjanjian itu melibatkan perdana menteri Malaysia dan Singapura.

Dalam satu kenyataan media yang diterbitkan pada Sabtu (4 Jun), Kementerian Ekonomi menegaskan bahawa pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan inisiatif ekonomi rentas sempadan yang melibatkan Malaysia dan Singapura.

Kementerian itu menyatakan pelancarannya perlu disusun secara strategik bagi memastikan keselarasan dasar, kesiapsiagaan pelaksanaan dan keyakinan pelabur dapat diperkukuh.

Menurut kementerian itu lagi, keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyelaras pelancaran Pelan Induk JS-SEZ di peringkat Rahat Pemimpin oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara pada suku keempat tahun ini menunjukkan strategi Kerajaan Malaysia memastikan komitmen dua hala di peringkat tertinggi, sekali gus memberi impak publisiti dan keyakinan berskala global.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kemajuan JS-SEZ perlu dinilai berdasarkan hasil serta impak ekonomi yang nyata, dan bukannya bersandarkan kepada tarikh pelancaran dokumen semata-mata. Data pelaburan semasa membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap pasaran Johor kekal utuh serta konsisten.

Kementerian Ekonomi juga akan memastikan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan agensi pelaksana terus kukuh supaya pelaksanaan JS-SEZ kekal tersusun dan inisiatif itu menjadi model kerjasama ekonomi yang berdaya saing, terangkum dan mampan demi membuka peluang pelaburan sebenar, pendapatan bernilai tinggi dan manfaat kepada rakyat.
Related article image
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita