PRN Johor: PDRM terima 56 aduan polis, buka 18 kertas siasatan berkait kesalahan pilihan raya
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata bagi tempoh empat hari sejak 3 Julai 2026 sahaja, sebanyak 32 aduan polis diterima dengan 10 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya sudah dibuka. (Gambar fail/BERNAMA)
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata bagi tempoh empat hari sejak Jumaat lalu sahaja, sebanyak 32 aduan polis diterima dengan 10 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya sudah dibuka.
Beliau berkata ia melibatkan dua kertas siasatan di bawah Seksyen 4a(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan serta Seksyen 24b akta yang sama.
“Satu lagi melibatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan kesalahan kempen pilihan raya dan batasannya.
“Selain itu, lapan kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibuka kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (7 Jul).
Encik Ab Rahaman berkata sepanjang tempoh kempen PRN Johor, pihaknya telah menerima 3,484 permohonan permit dengan sejumlah 3,215 diluluskan, manakala 3,182 program dan aktiviti politik dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejas keselamatan dan ketenteraman awam.
“Polis Johor akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang tempoh pilihan raya, dan sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa kompromi.
“Orang ramai diseru agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama kepada petugas di lapangan bagi memastikan PRN Johor berlangsung dalam suasana yang aman, selamat, harmoni dan teratur,” katanya.
Beliau berkata seramai 12,706 pegawai, anggota polis dan pasangan berdaftar sebagai pengundi awal bagi PRN Johor kali ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.