Skip to main content

Dunia

PRN Johor: Onn Hafiz tegaskan pelancaran pelan induk JS-SEZ tidak harus ditangguh lagi

Menteri Besar sementara Johor Onn Hafiz Ghazi mengecam kerajaan persekutuan atas penangguhan dalam pelancaran pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sambil menekankan perlunya untuk mengekalkan momentum inisiatif tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: Onn Hafiz tegaskan pelancaran pelan induk JS-SEZ tidak harus ditangguh lagi

Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi berucap semasa pelancaran kempen PRN Johor Barisan Nasional di Iskandar Puteri pada 7 Jun 2026. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 03 Jul 2026 05:14PM Dikemas Kini : 03 Jul 2026 05:16PM
JOHOR BAHRU: Menteri Besar sementara Johor Onn Hafiz Ghazi mengecam kerajaan persekutuan atas penangguhan dalam pelancaran pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sambil menekankan perlunya untuk mengekalkan momentum inisiatif tersebut.

Sebagai respons, Menteri Ekonomi Akmal Nasir, yang menyelia projek itu di peringkat persekutuan, mengekalkan bahawa kerajaan kekal komited terhadap kejayaan projek tersebut dan penangguhan itu tidak menjejas JS-SEZ kerana jumlah pelabur masih kekal kukuh.

Komen itu dibuat sedang kempen giat dijalankan bagi Pilihan Raya Negeri Johor pada 11 Julai, di mana Encik Onn Hafiz memimpin Barisan Nasional untuk mengekalkan pemerintahannya ke atas kerajaan negeri.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah pesaing utama BN di Johor, walaupun kedua-dua gabungan utama itu adalah sekutu di bawah kerajaan perpaduan persekutuan.

Encik Akmal yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru, adalah anggota parti PM Anwar - Parti Keadilan Rakyat - di bawah PH.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan pada Khamis (2 Jul), Encik Onn Hafiz berkata pelan induk JS-SEZ pada awalnya dijadual dilancarkan pada hujung 2025, tetapi ia kemudian dijadual semula kepada 30 Mac 2026.

"Ia kini ditangguhkan sekali lagi," katanya.

"Pelan induk itu tidak perlu tunggu sehingga Rahat Pemimpin pada hujung tahun untuk dilancarkan, kerana ia tidak perlukan kelulusan daripada pemerintah Singapura.

"Malah, agensi-agensi relevan dari Singapura, Malaysia dan Johor sudah pun memberikan komen dan maklum balas," kata Encik Onn Hafiz.

Beliau merujuk kepada Rahat Pemimpin tahunan antara PM Anwar dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong.

Encik Onn Hafiz, seorang ADUN Machap, menegaskan perkara itu "tidak harus ditangguhkan lagi".

"Ia melibatkan penyediaan kepastian bagi pelabur, serta penentuan hala tuju bagi sektor-sektor utama, zon pelaburan, insentif, infrastruktur, pembangunan bakat, dan penyelarasan antara agensi," katanya.

Malaysia dan Singapura sudah pun secara rasmi memeterai perjanjian mengenai JS-SEZ pada Januari 2025 untuk mewujudkan zon yang bertujuan menarik 100 projek bernilai RM100 bilion (S$31.6 bilion) dalam tempoh dekad pertama dan mewujudkan sekitar 100,000 pekerjaan baharu dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.

Pendahulu Encik Akmal, Rafizi Ramli berkata pada 19 Mei tahun lalu bahawa pelan tindakan JS-SEZ akan dilancarkan menjelang hujung tahun 2025, lapor media tempatan di Malaysia.

Pelan tindakan itu adalah peta hala tuju komprehensif yang menggariskan strategi pembangunan jangka panjang zon tersebut, prospek pelaburan dan hala tuju dasar, katanya pada ketika itu, sambil menyifatkannya sebagai dokumen selangkah bagi pelabur berpotensi, penggubal dasar dan orang awam.

Namun Encik Rafizi meletak jawatan pada hujung Mei 2025 setelah beliau kalah dalam Pemilihan PKR.

Pada Januari lalu, Kementerian Ekonomi Malaysia berkata ia menyasarkan pelancaran pada Mac bagi pelan tindakan JS-SEZ menyusuli pertemuan dengan Encik Akmal dan Menteri Pembangunan Negara Singapura Chee Hong Tat.

Namun, Encik Akmal mengumumkan pada Rabu di sebuah forum JS-SEZ di Kuala Lumpur bahawa pelancaran itu kini disahkan pada suku keempat tahun ini.

"Saya rasa kita dapat teroka dengan lebih lanjut butiran dokumen itu apabila tiba masanya," katanya, menurut laporan media tempatan di Malaysia.

Dalam kenyataannya pada Khamis menyusuli komen dari Encik Onn Hafiz, Encik Akmal berkata pelancaran pelan induk itu sedang diselaraskan dengan teliti untuk memastikan kesediaan pelaksanaan dan penjajaran dasar, serta kerjasama strategik antara Malaysia dengan Singapura.

Beliau menafikan pembangunan JS-SEZ ditangguh, sambil menggariskan bahawa walaupun pelan induk belum lagi dilancarkan, inisiatif itu mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM76.98 bilion (S$24.3 bilion) pada 2025.

"Jumlah itu menunjukkan bahawa keyakinan pelabur terhadap JS-SEZ kekal kukuh dan manfaatnya diterjemahkan ke dalam projek sebenar, daripada sekadar kekal sebagai pelan tindakan," kata Encik Akmal.

"Kerajaan persekutuan tidak pernah berkompromi dalam masa hadapan Johor," katanya.

"Tumpuan kini adalah untuk memastikan Pelan Induk JS-SEZ dilancarkan pada masa yang tepat, dengan asas pelaksanaan yang kukuh berupaya menghasilkan manfaaat berkekalan kepada rakyat Johor, menarik lebih banyak pelaburan bermutu tinggi dan mempertingkatkan negeri ini menjadi sebuah hab ekonomi dan pelaburan serantau yang penting."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita