Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRN Johor mungkin saksikan perpecahan undi Melayu

Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memasuki fasa terakhir menjelang hari mengundi Sabtu ini (12 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR: Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memasuki fasa terakhir menjelang hari mengundi Sabtu ini (12 Mac).

Parti-parti politik Melayu seperti UMNO, Pejuang dan Bersatu bertikam lidah demi memenangi undi penduduk Melayu.

Para pengamat berkata ini kerana setiap parti mahu diiktiraf sebagai satu-satunya parti unggul bangsa Melayu.

Kampung Melayu Majidee yang terletak di bawah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin merupakan kubu kuat UMNO.

Kawasan itu antara yang mempunyai jumlah penduduk Melayu paling ramai di seluruh Johor.

Namun, DUN Larkin jatuh ke tangan Parti Bersatu pada 2018.

Lantaran itu, kini timbul persoalan siapakah yang akan memenangi sokongan pengundi Melayu yang membentuk hampir 70 peratus jumlah pengundi keseluruhan di Johor.

UMNO YAKIN MENANG BESAR

Dengan penyertaan beberapa parti Melayu yang lain, PRN Johor boleh menyaksikan perpecahan undi orang Melayu.

Barisan Nasional (BN) berusaha sedaya mungkin untuk memastikan kemenangan UMNO.

Parti itu yakin ramai pengundi akan ingat akan sumbangan lalu BN.

BN menjanjikan kestabilan dan kemakmuran di Johor jika dipilih menjadi tampuk kepimpinan.

"UMNO memang mempunyai keyakinan tinggi bukan saja kerana kejayaan di Melaka tetapi di Johor kita nampak bahawa orang Melayu telah sedar dengan penipuan yang telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan dan akan kembali menyokong UMNO,"kata Timbalan Ketua UMNO Johor Nur Jazlan.

"Tambah lagi dengan keadaan di mana parti-parti yang lain yang bertanding dan bersaing di Johor ini merupakan serpihan. Ini juga memberikan kelebihan dengan kita kerana rakyat kena pilih kerajaan, rakyat bukan pilih individu."

PERIKATAN NASIONAL & PAKATAN HARAPAN AKAN TERUS BERJUANG

Namun begitu, Perikatan Nasional (PN) tidak menyerah kalah.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengingatkan pengundi bahawa semasa beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau mencadangkan melupuskan sebahagian pinjaman penduduk Felda yang kebanyakannya orang Melayu sebanyak AS$2 bilion (S$2.72 bilion).

Pihak pembangkang Pakatan Harapan (PH) pula menarik perhatian pecahan undi Melayu boleh dimanfaatkan.

Mentelah lagi, PH merampas Johor daripada BN pada 2018 dengan sokongan kelas pertengahan orang Melayu.

Para pengamat berkata perpecahan undi Melayu ini boleh memihak kepada BN tetapi apa yang penting untuk warga Johor adalah siapa yang mereka percaya untuk menghidupkan semula ekonomi yang teruk terjejas pandemik Covid-19.

Zamil Pelawat Institut ISEAS-Yusof Ishak Dr Serina Rahman berkata: "Masih ada unsur-unsur kaum kerana mengikut sejarah itulah yang membawakan hasil dan parti-parti lama akan berpegang kepadanya kerana mereka selesa dengan itu.

"Tetapi akhirnya, ia adalah mengenai siapa yang boleh membantu mereka dari sudut kewangan serta memperbaiki ekonomi negeri."

Dengan baki dua hari saja untuk berkempen, parti-parti politik Malaysia meningkatkan usaha mendapatkan sokongan teras serta cuba menawan hati pengundi baru.

Para pengundi Johor dijangka perlu membuat pilihan sukar apabila ke kotak undi pada 12 Mac nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan