Skip to main content

Dunia

PRN Johor: Menteri Besar sementara Onn Hafiz Ghazi pertahan pencapaian jelang pilihan raya

Jumlah pelaburan di Johor sebanyak RM110 bilion (S$34 bilion) pada tahun lalu, mencipta satu rekod baharu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jun 2026 10:27PM Dikemas Kini : 26 Jul 2026 12:52AM
JOHOR BAHRU: Jumlah pelaburan di Johor sebanyak RM110 bilion (S$34 bilion) pada tahun lalu, mencipta satu rekod baharu.

Ia satu pencapaian cukup memberangsangkan, tetapi manfaatnya harus mengalir kepada rakyat negeri itu. Demikian tegas Onn Hafiz Ghazi, yang merupakan Menteri Besar sementara Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) bagi negeri itu.

Beliau mengulas demikian dalam satu wawancara khas bersama Korespenden Kanan Afifah Ariffin menjelang Pilihan Raya Negeri Johor pada 11 Julai.

Keputusan PRN di kubu kuat UMNO itu dijangka dipantau penuh teliti dengan kempen bermula hujung minggu ini menyusuli Hari Penamaan Calon pada Sabtu (27 Jun).

Dengan Johor menjadi jentera penting pertumbuhan ekonomi Malaysia dan juga tempat kelahiran UMNO, Encik Onn Hafiz, antara lain, menyentuh tentang gaya kepimpinan beliau, demi memastikan partinya mampu mempertahankan kedudukannya.

"Saya mengambil pendekatan untuk turun padang kerana kita hendak memastikan bahawa apa yang kita rangka, apa visi kita, dapat dicapai.

"Kadang-kadang apa yang dilaporkan di atas kertas dengan apa yang sebenarnya berlaku di peringkat bawah, berbeza.

"Kalau di peringkat agensi tidak dapat diselesaikan, saya akan turun kerana ia melibatkan ratusan ribu bangsa Johor. Kalau saya terpaksa turun ke imigresen pukul 4.00 pagi, saya akan turun sebab ia melibatkan 300,000 rakyat Malaysia, bangsa Johor. Jadi objektif ataupun niat saya adalah untuk memastikan kita ada keputusan yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Menjawab soalan mengenai prestasi BN dan UMNO di Johor sebagai kayu ukur keupayaan BN di PRN peringkat federal, Encik Onn Hafiz berkata "apa yang berlaku di Johor tidak semestinya memberi impak kepada nasional".

Ini kerana "perkara-perkara yang dihadapi di Johor mungkin berbeza di peringkat nasional".

"Jadi saya rasa dari segi keputusan pilihan raya ini, mungkin akan membantu tetapi fokus saya lebih kepada mahu menang pilihan raya di Johor," katanya.

Encik Onn Hafiz turut mengulas tentang bagaimana hubungan dengan Singapura, dari segi projek seperti RTS dan JS-SEZ, memacu pembangunan Johor.

"Dengan adanya dua projek ini, ia bukan sahaja membantu Johor, Malaysia dan juga Singapura.

"Ia sebenarnya menjadi pemangkin untuk membangunkan ekonomi untuk rantau ini. Bagi saya ini baru permulaan. Ada banyak lagi perkara-perkara yang kita boleh capai bersama.

"Contohnya, berkenaan JS SEZ, kita punya pelan induk belum dimuktadmadkan. InsyaAllah akan siap tahun ini. Ini akan terus menjadi pemangkin untuk kita bangunkan ekonomi kita bersama," katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/AA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita