Skip to main content

Dunia

PRN Johor: Maszlee anggap kemenangan DUN Puteri Wangsa sebagai amanah besar

Mantan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyifatkan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, lapor Astro Awani.

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: Maszlee anggap kemenangan DUN Puteri Wangsa sebagai amanah besar

Mantan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 12 Jul 2026 10:58AM
  • Dr Maszlee Malik memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa dalam PRN Johor Ke-16, menjadi satu-satunya wakil PKR yang berjaya.
  • Beliau menegaskan kemenangan ini adalah amanah besar hasil kepercayaan rakyat, bukan untuk dibanggakan secara berlebihan.
  • Maszlee merakamkan penghargaan kepada pimpinan PKR, keluarga, dan penyokong atas sokongan sepanjang kempen.
  • Beliau bertekad melaksanakan tanggungjawab membela rakyat Puteri Wangsa dan membawa suara Keadilan di Johor.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyifatkan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, lapor Astro Awani.

Dr Maszlee yang menjadi satu-satunya wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi kerusi pada PRN Johor kali ini berkata, kemenangan itu bukan sesuatu yang perlu dibanggakan secara berlebihan, sebaliknya merupakan tanda kepercayaan rakyat yang perlu dijunjung.

"Kekal sebagai satu-satunya wakil PKR yang memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Johor kali ini, bukanlah satu kebanggaan untuk dimegahkan, tetapi sebuah manifestasi kepercayaan yang harus saya junjung dengan penuh insaf.

"Saya merakamkan penghargaan kepada pimpinan parti, sahabat seperjuangan serta semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang tempoh kempen berlangsung," kata beliau, seperti yang dipetik Astro Awani, dalam satu kenyataan pada Ahad (12 Jul).

Antara yang dizahirkan penghargaan termasuk terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor Amirudin Shari; Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar; serta barisan pimpinan dan rakan seperjuangan lain.

Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada isteri dan ahli keluarga yang sentiasa memberikan doa, sokongan serta kesabaran dalam menghadapi cabaran sepanjang perjuangan politiknya.

Mengulas mengenai mandat daripada pengundi, Dr Maszlee berkata kepercayaan yang diberikan rakyat Puteri Wangsa merupakan amanah yang besar dan beliau bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

Beliau memetik kata-kata tokoh ilmuwan Islam, Imam Al-Ghazali yang menyifatkan amanah sebagai perkara paling berat untuk dipikul.

"Kemenangan ini adalah amanah yang sangat berat. Saya memohon doa daripada semua agar diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk memikul amanah ini, membela nasib rakyat Puteri Wangsa dan membawa suara Keadilan di bumi Johor dengan sebaik-baiknya," kata beliau.

Dr Maszlee berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, sekali gus merampas kerusi itu untuk Pakatan Harapan (PH) dalam saingan lima penjuru, lapor Astro Awani.

Beliau mengetepikan calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling; Sharifah Rashifa Syed Abdul Rashid Aljunied daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Nicholas Paul Vincent daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA); serta calon Bebas, Wang Wee Siong.

Dr Maszlee memperoleh 41, 821 undi untuk mengalahkan Teow yang meraih 36,077 undi, Sharifah Rashifa (5,887 undi), Nicholas Paul Vincent (2,332 undi) dan Wang Wee Siong (227 undi) dengan majoriti 5,744 undi.

Kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini disandang Amira Aisya Abd Aziz daripada MUDA yang tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita