PRN Johor: Mandat besar rakyat pembakar semangat BN Johor terus berkhidmat, kata Onn Hafiz
Barisan Nasional (BN) Johor menyifatkan kemenangan lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sebagai mandat besar yang diberikan rakyat untuk terus berkhidmat, menyantuni rakyat dan menyelesaikan pelbagai isu demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kemenangan itu ialah satu amanah besar yang diterima dengan penuh rasa syukur dan rendah hati.
Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kemenangan itu ialah satu amanah besar yang diterima dengan penuh rasa syukur dan rendah hati.
"Syukur alhamdulillah, seperti yang disebut Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN Johor telah memenangi lebih daripada 40 kerusi hari ini. Dengan penuh rasa rendah hati, saya, bagi pihak kepimpinan BN Johor, ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan mandat yang begitu memberangsangkan.
"Mandat besar ini memberikan semangat kepada BN Johor untuk terus berkhidmat, menyantuni rakyat dan menyelesaikan isu-isu rakyat dengan lebih baik. Itulah komitmen kami apabila diberi mandat sebegini," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, pada Sabtu (11 Jul).
Turut hadir Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Ahmad Maslan dan Hishammuddin Tun Hussein.
Encik Onn Hafiz berkata kemenangan itu hanya dapat dicapai dengan izin Allah serta hasil usaha dan pengorbanan seluruh jentera parti sepanjang tempoh berkempen.
Beliau turut mengingatkan semua wakil rakyat BN yang dipilih bahawa kemenangan tersebut hadir bersama tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Johor tanpa mengira kaum mahupun pegangan politik.
Beliau berkata dengan perkenan Sultan Johor dan Pemangku Sultan Johor, kerajaan negeri akan terus berusaha menjayakan agenda Maju Johor demi kesejahteraan rakyat.
"Kepada wakil rakyat yang baru menang, anda mempunyai tanggungjawab besar. Mandat yang diberi adalah untuk menjaga seluruh Bangsa Johor, sama ada mereka menyokong kita ataupun tidak.
"Kita akan menjaga semua rakyat Johor, Melayu, Cina, India, Orang Asli dan seluruh Bangsa Johor.
"Marilah kita sama-sama rapatkan saf, buang yang keruh, ambil yang jernih. Musim pilihan raya telah berakhir, sekarang masa untuk memikul tanggungjawab membina Johor yang kita impikan bersama, insya-Allah," katanya.
Encik Onn Hafiz sementara itu mempertahankan kerusi DUN Machap pada PRN Johor ke-16.
Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Encik Onn Hafiz memperolehi 20,382 undi sekali gus menang dengan majoriti 15,375 undi.
Kemenangan itu menyaksikan beliau menewaskan pencabarnya, Nur Hafiz Roslan daripada Pakatan Harapan dalam pertembungan satu lawan satu.
Pada PRN Johor 2022, Encik Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor, menang dengan majoriti 6,543 undi menewaskan calon Perikatan Nasional Azlisham Azahar, calon MUDA R. Sangaran dan calon PEJUANG Sharuddin Md Salleh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.