Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRN Johor: Kemenangan BN hasil strategi kempen teguh & imej berbeza, kata pengamat

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu (12 Mac) disebabkan strategi kempen yang teguh serta imej berlainan daripada tahun 2018 semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Para pengamat politik berkata demikian kepada BERITAmediacorp, sambil menambah pihak lawan yang tidak sepakat juga secara langsung menyumbang kepada kemenangan BN.

BN memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (Johor) diikuti dengan Pakatan Harapan sebanyak 11 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti MUDA masing-masing mendapat satu kerusi serta Perikatan Nasional (PN) memperolehi tiga kerusi.

PRN Johor juga menyaksikan hampir 55 peratus daripada sekitar 2.5 juta warga Johor yang layak keluar mengundi.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia iaitu sebanyak 70 peratus dan juga jumlah dicatat semasa PRN Melaka dan Sarawak, yang masing-masing mendapat kehadiran sekitar 65 peratus dan 62 peratus.

BUKAN SEKADAR KURANG PENGUNDI SAJA

Meskipun jumlah rendah itu membawa kesan kepada keputusan PRN Johor, para pengamat berkata banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan BN.

Antaranya adalah manifesto kurang menyeluruh daripada parti-parti lawan seperti Parti Pejuang pimpinan mantan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir.

Menurut pengkaji sosiopolitik Profesor Awang Azman Awang Pawi, parti-parti lawan didapati lebih mengambil pendekatan untuk menyerang BN mahupun anggota mapan UMNO.

Tun Dr Mahathir Mohamad misalnya menyampaikan mesej tegas untuk tidak mengundi bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang disifatkan beliau sebagai pencuri.

Sama juga bagi Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang membangkitkan isu-isu berkaitan rasuah dan kes 1MDB.

Profesor Awang berkata perkara-perkara itu sudah tidak lagi dalam sentimen rakyat yang kini mahukan bantuan setelah teruk terjejas oleh pandemik COVID-19.

"Mereka asyik menggunakan pendekatan memburuk-burukkan parti lawan tetapi mereka tidak mengemukakan apa penyelesaian-penyelesaian dalam isu-isu semasa rakyat, kurang menyeluruh.

"Jadi apabila pembangkang menggunakan taktik menyerang dan terus menyerang tanpa memberi tawaran-tawaran kepada rakyat, mereka akhirnya dihukum pengundi sendiri," Profesor Awang memberitahu BERITAmediacorp.

Faktor itu dipersetujui Zamil Kanan Institut ISEAS-Yusof Ishak Dr Norshahril Saat, yang menambah cabaran-cabaran dihadapi penduduk Johor akibat COVID-19 perlu diberikan perhatian utama.

"Kita tahu bahawa sekarang ini apakah isu penting yang sedang menghimpit rakyat, di antaranya adalah masalah pekerjaan, ekonomi dan sebagainya.

"Jadi apabila pembangkang datang dan memainkan isu-isu lama dan cuba mengaitkan isu-isu ini dengan apa yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum 2018, saya rasa ia kurang berhasil," ujar beliau.

Mentelah lagi, semasa Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir, mereka menerima kecaman daripada rakyat apabila menyatakan manifesto bukanlah "satu kitab suci" yang perlu dipatuhi sepenuhnya.

Perkara itu, tambah Profesor Awang, membuat warga Johor lebih memihak kepada BN yang menawarkan kestabilan dan kemakmuran di negeri itu.

PIHAK LAWAN TIDAK SEPAKAT

Sementara itu, corak aturan pihak lawan yang tidak sepakat juga tidak membantu imej mereka dalam memberi keyakinan kepada warga Johor.

Dr Norshahril misalnya berkata kempen BN kali ini mendapat sokongan kuat daripada beberapa ahli politik peringkat persekutuan seperti Encik Najib dan juga Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menambah: "Kita lihat mereka juga amat kuat dalam berkempen dan ini mungkin sedikit sebanyak merubah persepsi rakyat terhadap UMNO. Kita tidak harus lupa bahawa Johor ini memang kubu kuat UMNO."

Profesor Awang pula berkata meskipun ada percanggahan dalam pihak BN berhubung pengagihan kerusi antara parti-parti komponen, perkara itu dihuraikan secara dalaman.

Ini berbeza sekali dengan pihak lawan yang kerap mendapat perhatian media tentang perpecahan yang berlaku.

Lantaran itu, Profesor Awang menyifatkan kejatuhan Pakatan Harapan dan Parti Bersatu adalah hasil keruntuhan dilakukan sendiri sejak menjadi kerajaan pada 2018.

"Ketika Pakatan Harapan memerintah selama 22 bulan, berlakunya saling tidak menghargai antara satu sama lain. Malah, di satu ketika Perdana Menteri sanggup meletak jawatan dan meruntuhkan Pakatan Harapan.

"Jadi imej-imej yang ditonjolkan ini memberi ketidakyakinan dan ketidakpercayaan kepada pengundi dalam Pakatan Harapan dan ini memberi kesan kepada parti DAP, PKR, Amanah dan apatah lagi kepada Bersatu," kongsi beliau.

Dengan mandat jelas yang diberikan warga Johor kali ini, kedua-dua pengamat yakin kerajaan negeri Johor akan menjadi lebih stabil buat lima tahun akan datang.

Kini, tanggungjawab adalah dalam tangan BN untuk memastikan manifesto serta janji-janji yang ditaburkan dapat ditunaikan.

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan