Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRN Johor boleh dijadikan kayu ukur bagi langkah strategik PRU-15 nanti: Penganalisis

Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor boleh dijadikan kayu ukur bagi parti-parti politik Malaysia mengenal pasti keberkesanan kempen mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor boleh dijadikan kayu ukur bagi parti-parti politik Malaysia mengenal pasti keberkesanan kempen mereka.

Zamil Pelawat Institut ISEAS-Yusof Ishak Dr Serina Rahman berkata demikian kepada BERITAmediacorp sambil menambah apa yang dipelajari nanti bakal mencorak strategi politik masing-masing bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Malaysia.

PRN Johor menyaksikan beberapa penyertaan baru seperti Parti Pejuang pimpinan Mukhriz Mahathir dalam 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parti Warisan Sabah yang akan bertanding enam kerusi DUN.

Selain itu, Parti MUDA pimpinan mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, juga menawarkan tujuh calon.

GOLONGAN BELIA PELBAGAI LATAR BELAKANG

Dr Serina Rahman berkata penyertaan parti-parti ini dan langkah menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun menjadikan PRN Johor sebagai kayu ukur yang perlu diteliti oleh semua pihak.

Ini kerana, menurut beliau, parti-parti politik perlu memikirkan cara mendapatkan sokongan golongan usia itu daripada pelbagai latar belakang.

"Saya ada tanya juga dengan remaja 'ada tak anda akan undi?'. Mereka ini dari luar bandar. Mereka kata tidak sebab mereka pun tidak tahu hendak sokong siapa, tidak tahu parti ini siapa, tidak tahu apa yang mereka hendak janji kepada kita.

"Jadi remaja luar bandar kehidupan, pendapat dan kefahaman mereka lain tentang politik dan warga politik," jelas beliau yang menekankan golongan anak muda di kawasan bandar mungkin lebih peka akan landskap politik negara itu.

Sebelum ini, kerajaan federal meluluskan usul UNDI18 yang bermakna usia mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

PRN JOHOR SATU KAYU UKUR, SUKAR RAMALKAN PEMENANG: DR SERINA RAHMAN

Dengan muka-muka baru serta profil pengundi berbeza, Dr Serina mengatakan tidak wajar untuk menyamakan PRN Johor dengan PRN sebelum ini di Melaka dan Sarawak.

Beliau menambah atas faktor-faktor itu juga sukar untuk meramalkan siapakah akan membentuk kerajaan negeri baru nanti di Johor.

Lantaran itu, Dr Serina merasakan PRN Johor sesuai bagi parti-parti politik mengukur keberkesanan arah kempen dan manifesto masing-masing khususnya sebagai persiapan bagi PRU15 yang dijangka bakal berlangsung pada separuh kedua tahun ini.

Mentelah lagi, Dr Serina menambah negeri Johor sering disifatkan sebagai cerminan keseluruhan Malaysia berhubung pilihan raya.

Beliau menambah: "PRN Johor ini akan digunakan sebagai kayu ukur untuk menguji mungkin jika mereka guna platform ini, bincang tentang isu ini, adakah rakyat yang undi akan tertarik dengan isu ini dan bolehkah mereka bergerak dengan kempen yang mereka pilih untuk Johor dan ikut kempen itu untuk satu negara sebab Johor kan peratusan kaum sama dengan Malaysia sepenuhnya."

TIDAK RAMAI AKAN KELUAR MENGUNDI

Walaupun sekitar 2.6 juta warga Johor layak mengundi dalam PRN kali ini, Dr Serina menganggarkan kadar mereka yang akan keluar mengundi tidak akan melebihi 65 peratus.

Selain faktor penularan varian Omicron, Dr Serina berkongsi bahawa tinjauan rambang beliau mendapati antara faktor lain warga Johor tidak mungkin mengundi termasuk perubahan landskap politik yang berubah-ubah.

"Jadi untuk Johor yang virus Omicron sudah naik, mungkin ramai yang susah sikit hendak keluar undi sebab risau perkara ini semua.

"Selama COVID-19 ini, rakyat pun sudah nampak mungkin warga politik kurang memikirkan kesusahan rakyat. Itulah pendapat rakyat yang saya jumpa," katanya.

Beliau juga berkongsi terdapat sebilangan warga Johor yang berada di luar negara mungkin tidak melakukan undian atas sebab-sebab berkenaan.

Ini walaupun PRN Johor merupakan PRN pertama yang mempunyai pilihan undian pos bagi mereka yang tidak dapat pulang.

Pengundian awal PRN Johor ditetapkan pada 8 Mac sebelum Hari Mengundi pada 12 Mac nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan