Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRN Johor: BN sasar majoriti dua pertiga di tengah 'angin perubahan'

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: BN sasar majoriti dua pertiga di tengah 'angin perubahan'

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 27 Feb 2022 08:19PM Dikemas Kini : 27 Feb 2022 08:20PM

BATU PAHAT:Barisan Nasional (BN)  tidak mahu melihat situasi pertembungan empat penjuru di 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu kelebihan kepada parti itu untuk menang selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan melihat kepada aspek kelebihan atau kekurangan apabila terlalu ramai calon diketengahkan pelbagai parti.

“Angin perubahan mula bertiup di Johor bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu… peningkatan sokongan pengundi India dan Cina terutama di kawasan bandar telah mula bertukar arah kepada calon BN,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ayer Hitam Barat di sini, pada Ahad (27 Feb).

Pada PRN Johor, daripada 56 kerusi DUN, dua kawasan iaitu Kempas dan Tiram menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, pertandingan enam penjuru di empat kerusi, lima penjuru (lapan),  empat penjuru (35) dan tiga penjuru (7).

Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO yakin beberapa tawaran dalam manisfesto BN yang akan dilancarkan kelak seperti menawarkan rumah generasi kedua kepada peneroka Felda yang akan diletakkan di bawah kerajaan negeri, akan memberikan harapan kepada pengundi muda.

Katanya lebih 70 peratus muka baru yang diketengahkan sebagai calon BN adalah ‘hidangan’ baru kepada rakyat Johor yang mampu menjadi pembawa perubahan dalam kalangan pengundi muda.

“Walaupun calon-calon ini bertembung dengan calon sama taraf dari segi umur, kelayakan akademik, muka baharu tetapi kita yakin berdasarkan rekod daripada Kerajaan Johor yang mempunyai 14 Menteri Besar di bawah pimpinan BN atau UMNO, memberi keyakinan dan harapan semula kepada calon untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac.

Sementara itu, Dr Ahmad Zahid berkata BN akan mencadangkan pelaksanaan kadar gaji minimum baru bagi negeri tersebut sekiranya parti itu diberi mandat pada PRN Johor.

Katanya ia penting untuk Kerajaan Negeri Johor membela kepentingan rakyat terutamanya pekerja yang berpendapatan rendah

“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar dan kerajaan negeri kerana ia juga tertakluk kepada dasar kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum pada nilai sekitar RM1,500 (S$483) sebulan sebelum penghujung tahun ini selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Sumber : Bernama/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan