Skip to main content

Dunia

PRN Johor: BN mendominasi, calon DUN Permas catat majoriti terbesar

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan gabungan itu bukan sahaja menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malah turut mencatatkan majoriti besar di beberapa kawasan.

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: BN mendominasi, calon DUN Permas catat majoriti terbesar

Bendera Barisan Nasional (BN). (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 12 Jul 2026 02:01PM
  • Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor ke-16, menunjukkan penguasaan besar di negeri itu.
  • Calon BN seperti Baharudin Mohamed Taib, Onn Hafiz Ghazi, Abdul Halim Suleiman, dan lain-lain mencatat majoriti kemenangan yang jauh lebih tinggi berbanding pilihan raya sebelumnya.
  • Pakatan Harapan (PH) turut meraih kemenangan di beberapa kawasan, antaranya Kartiyaini Jeyapalan di Skudai dan Maszlee Malik di Puteri Wangsa, namun dengan majoriti lebih kecil.
  • Pilihan raya ini memperlihatkan peningkatan sokongan kepada BN, dengan proses pengundian dan keputusan diumumkan di pelbagai kawasan DUN Johor.
Dijana oleh AI
JOHOR BAHRU: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan gabungan itu bukan sahaja menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malah turut mencatatkan majoriti besar di beberapa kawasan.

Kemenangan dengan majoriti tertinggi direkodkan oleh calon BN bagi DUN Permas, Baharudin Mohamed Taib yang memperoleh 51,274 undi untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Sharon Teo (21,769 undi).

Kejayaan dengan majoriti 29,505 undi itu merupakan peningkatan ketara berbanding majoriti 7,926 undi yang dicatatkan Encik Baharudin pada PRN Johor 2022.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang juga calon BN bagi DUN Machap turut mencatat kemenangan meyakinkan dengan majoriti 15,375 undi selepas memperoleh 20,382 undi berbanding calon PH Nor Hafiz Roslan yang meraih 5,007 undi.

Majoriti diraih oleh Encik Onn Hafiz meningkat lebih dua kali ganda berbanding 6,543 undi yang diperolehnya pada pilihan raya sebelum ini.

Turut mencatat kemenangan bergaya ialah calon BN bagi DUN Tiram Abdul Halim Suleiman yang menang dengan majoriti 28,255 undi, manakala Encik Pandak Ahmad berjaya mempertahankan DUN Kota Iskandar dengan majoriti 21,206 undi.

Selain itu, Encik Mohd Hairi Mad Shah menang di DUN Larkin dengan majoriti 20,282 undi, sementara Dr Muhammad Naqib Md Ghazali meraih majoriti 18,948 undi di DUN Panti.

Dalam kalangan calon PH, Kartiyaini Jeyapalan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencatat kemenangan paling besar bagi gabungan itu di DUN Skudai dengan majoriti 15,280 undi, manakala Ng Yak Howe (DAP) menang di DUN Bentayan dengan majoriti 6,112 undi.

Mantan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik (PH), pula membuat kemunculan semula dengan memenangi DUN Puteri Wangsa (majoriti 5,744 undi), sementara mantan Menteri Kesihatan, Adham Baba (BN), mengungguli DUN Pasir Raja dengan majoriti 12,446 undi.

Sementara itu, calon PH di DUN Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman memperoleh majoriti terendah pada PRN 2026 iaitu 170 undi.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita