Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRN Johor: BN manfaatkan keadaan pembangkang yang tidak bersatu

Hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal diadakan pada Sabtu (26 Feb), dengan Barisan Nasional dijangka mengambil peluang ke atas pihak pembangkang yang tidak bersatu.

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal diadakan pada Sabtu (26 Feb), dengan Barisan Nasional dijangka mengambil peluang ke atas pihak pembangkang yang tidak bersatu.

Keputusan PRN Johor juga akan memberi kesan terhadap Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia yang berkemungkinan diadakan tahun ini.

Pilihan raya di negeri Johor, selatan Malaysia, adalah yang ketiga dalam masa kurang enam bulan.

Sejumlah 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan kali ini selepas ia dibubarkan pada 22 Januari lalu.

Menyusuli kematian anggota DUN Kempas dan mantan Menteri Besar Osman Sapian
menyebabkan kerajaan negeri Johor ada majoriti hanya kelebihan satu kerusi DUN.

Maka itu, menurut Menteri Besar Johor Hasni Mohamad, yang memimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), mandat perlu ditentukan semula oleh rakyat Johor untuk memastikan kemantapan negeri itu.

Para pemerhati berkata BN berharap untuk mengulangi kemenangan di PRN Melaka dan mengembalikan kuasa di Johor, tempat parti UMNO diasaskan.

"Selepas kemenangan UMNO di Melaka, trend sokongan nampak beralih semula kepada UMNO. Dengan keadaan parti-parti pembangkang yang berpecah, UMNO tidak memerlukan undi majoriti pun untuk membentuk kerajaan yang kukuh di negeri Johor," kata Adib Zalkapli, Pengarah BowerGroupAsia.

BN akan bersaing dengan Perikatan Nasional (PN) yang masih bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan kedua-duanya bakal bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.

Turut akan bertanding, perikatan pembangkang Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti baru yang membuat penampilan kali pertama di Johor. Ini termasuk parti MUDA, Pejuang and parti Warisan dari Sabah.

Menurut para pengamat, landskap persaingan parti-parti politik yang sesak mengancam untuk memecah-belahkan undi kepada pihak pembangkang.

Ini memandangkan persaingan pelbagai penjuru dijangkakan di banyak kawasan undi jika pihak pembangkang tidak bekerjasama.

PRN Johor juga akan buat pertama kalinya melibatkan pengundi generasi baru selepas usia layak mengundi diturunkan dari 21 kepada 18 tahun.

Daripada sekitar 2.6 juta pengundi yang layak di Johor, hampir 28 peratus atau 750,000 adalah pengundi baru dengan sekitar 173,000 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Parti-parti politik Malaysia sudahpun memulakan usaha mendekati golongan belia ini.

"Mereka mempunyai kepentingan mereka sendiri yang bergantung kepada kedudukan ekonomi mereka, pendidikan dan juga kedudukan mereka di mana sama ada di kawasan-kawasan besar di Johor atau kawasan-kawasan pendalaman di Johor.
Ini akan mempengaruhi corak pengundian mereka," kata Encik Adib.

PRN Johor diteruskan meskipun jangkitan COVID-19 berterusan di Malaysia.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) juga membenarkan rapat-rapat pilihan raya dan kempen politik secara fizikal, selagi SOP dipatuhi.

Para pemerhati sependapat bahawa PRN Johor menjadi kayu ukur sokongan pengundi kepada parti-parti politik. Pelibatan pengundi muda pula dijangka merubah peta politik dan sekali gus memberi isyarat bila pilihan raya umum Malaysia akan diadakan.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan