Skip to main content

Dunia

PRN Johor: 94.49% pengundi awal tunai tanggungjawab

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: 94.49% pengundi awal tunai tanggungjawab

Seramai 19,471 pengundi awal melaksanakan tanggungjawab mereka, yang terdiri daripada 7,960 anggota tentera dan pasangan mereka, 11,511 anggota polis dan pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA). (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Jul 2026 09:09AM
JOHOR BAHRU: Sebanyak 94.49 peratus pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ssudah melaksanakan tanggungjawab mereka pada Selasa (7 Jul).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khairul Shahril Idrus berkata peratusan itu melibatkan 19,471 pengundi, terdiri daripada 7,960 anggota tentera dan pasangan mereka, 11,511 anggota polis dan pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata proses mengundi yang bermula pukul 8.00 pagi itu melibatkan 62 pusat pengundian awal di seluruh negeri, sebelum ditutup secara berperingkat dari pukul 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang.

"Sebanyak 29 pusat mengundi ditutup pada 12.00 tengah hari, lima pusat pada 2.00 petang dan baki 28 pusat lagi ditutup sepenuhnya pada 5.00 petang," katanya dalam kenyataan pada Selasa (7 Jul).

Encik Khairul Shahril turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan petugas kerana berjaya mengendalikan proses mengundi tersebut dengan lancar dan cemerlang.

Beliau berkata SPR juga merakamkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, petugas media serta semua pihak yang memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang proses demokrasi itu berlangsung.

Semua peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum proses penjumlahan rasmi undi dijalankan pada hari mengundi pada Sabtu ini. 

Secara keseluruhannya, PRN Johor ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita