Skip to main content

Dunia

PRN Johor: 55 calon hilang deposit

Seramai 55 calon hilang wang deposit masing-masing selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu (11 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: 55 calon hilang deposit

Bendera Perikatan Nasional. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 12 Jul 2026 02:05PM
  • Seramai 55 calon daripada pelbagai parti dan Bebas hilang wang deposit selepas gagal memperoleh undi minimum pada PRN Johor ke-16 yang berlangsung pada 11 Julai.
  • Perikatan Nasional mencatat jumlah tertinggi calon kehilangan deposit, diikuti Parti Bersama Malaysia, Pakatan Harapan, MUDA, ASLI, PSM dan calon Bebas.
  • Calon berumur 18 hingga 40 tahun paling ramai terjejas, mewakili 41 peratus daripada jumlah calon yang kehilangan deposit.
  • Barisan Nasional berjaya memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH mendapat lapan kerusi dan parti lain gagal memperoleh sebarang kemenangan.
Dijana oleh AI
JOHOR BAHRU: Seramai 55 calon hilang wang deposit masing-masing selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu (11 Jul).

Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan 33 calon melibatkan 16 daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 11 daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), lima Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) dan seorang daripada Pejuang menjadi gabungan terbesar yang merekodkan calon kehilangan wang deposit, iaitu sebanyak 21 orang.

Paparan keputusan rasmi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PN bukan sahaja gagal melebarkan penguasaan, malah terpaksa melepaskan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mereka pada PRN Johor 2022, iaitu Bukit Kepong, Maharani dan Endau.

Sementara itu, Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang baru mewarnai kancah politik tanah air berdepan tamparan hebat apabila kesemua 15 calonnya hilang wang deposit.

Pakatan Harapan (PH) pula merekodkan sejumlah tujuh calon daripada gabungan itu yang kehilangan wang deposit.

Selain itu, kesemua enam calon Bebas, empat daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), serta dua calon tunggal yang masing-masing mewakili Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut kehilangan wang deposit.

Dalam pada itu, calon dalam lingkungan umur 18 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah kehilangan deposit tertinggi, iaitu sebanyak 41 peratus atau melibatkan 21 daripada keseluruhan 51 calon yang bertanding.

PRN Johor ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat untuk menerajui semula Kerajaan Negeri Johor selepas memenangi 48 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sementara itu, PH memperoleh lapan kerusi manakala calon PN, Bersama, MUDA, ASLI, PSM dan Bebas gagal memenangi sebarang kerusi.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita