Skip to main content

Dunia

PRN Johor: 48 jam menuju penentuan, calon parti gigih cuba tambat hati pengundi

Calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kini dalam fasa pecutan terakhir untuk memuktamadkan misi memikat pengundi memandangkan tempoh berkempen hanya berbaki kurang 48 jam sebelum berakhir tepat tengah malam pada Jumaat (10 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
PRN Johor: 48 jam menuju penentuan, calon parti gigih cuba tambat hati pengundi

Bendera-bendera parti berkibaran menjelang PRN Johor.

Diterbitkan : 09 Jul 2026 10:59PM
JOHOR BAHRU: Calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kini dalam fasa pecutan terakhir untuk memuktamadkan misi memikat pengundi memandangkan tempoh berkempen hanya berbaki kurang 48 jam sebelum berakhir tepat tengah malam pada Jumaat (10 Jul).

Meskipun fasa kempen sudah memasuki hari ke-13, rata-rata calon daripada pelbagai parti tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan sebaliknya mempamerkan lonjakan tenaga luar biasa menerusi siri ceramah berskala besar dan aktiviti turun padang bagi menambat hati pengundi saat akhir.

Kehadiran pimpinan pusat turut menyuntik moral jentera antaranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim yang turun padang menerusi siri jelajah di tiga lokasi strategik termasuk di "kerusi panas" Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Khamis malam (9 Jul).

Sehubungan itu, calon PH bagi DUN Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik menerusi catatan Instagram mengajak pengundi untuk hadir ke program Grand Finale Harapan Johor Selatan yang akan dihadiri Perdana Menteri Malaysia itu. 

"Orang Puteri Wangsa, pull up! Wajib datang Ceramah Finale malam ni, FOMO (fear of missing out) is real!" katanya.

Sementara itu, calon PH DUN Paloh Dr A. Ruban yang sebelum ini terpaksa berehat akibat faktor kesihatan, kini kembali bersemangat menggempur kawasan berkenaan bagi memastikan momentum sokongan tidak terjejas.

"Rehat sehari kerana rawatan, (namun) petang semalam saya kembali turun padang. Perjuangan untuk Paloh tidak akan terhenti," katanya menerusi catatan di Facebook.

Pengerusi PKR Johor Dr Zaliha Mustafa menerusi perkongsian di Facebook turut membantu kempen calon DUN Kemelah Mohd Afif Abd Hamid menerusi Konvoi Bermotor Jelajah Felda Redong yang disertai 120 penunggang motosikal.

Bagi menambah "tonik" di lapangan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi turut melakukan pecutan akhir dengan mengadakan lawatan ke DUN Endau dan DUN Kempas bagi menyuntik semangat calon serta jentera gabungan itu.

Calon BN bagi DUN Machap yang juga Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi pula meneruskan jelajah kempen dengan menelusuri daerah-daerah terlibat selain memuat naik video pesanan di Instagram menyeru rakyat Johor agar memberikan mandat kepada BN pada Sabtu ini (11 Jul).

Di DUN Larkin, calon BN Mohd Hairi Mad Shah memanfaatkan waktu yang berbaki dengan melaksanakan program Ziarah Kasih, pendekatan menyantuni pengundi secara peribadi bagi memohon mandat untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan berkenaan.

Perikatan Nasional (PN) pula memilih untuk mengadakan Ceramah Mega di Endau malam ini, yang menampilkan barisan pimpinan tertinggi termasuk Pengerusi PN Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bagi menyokong calon mereka, Hasnul Hakimi Hussien.

Bagi calon PN DUN Kahang Mazlan Bujang, beliau mengakui masih belum berpuas hati menyantuni warga kawasan berkenaan meskipun tempoh berkempen hampir ke penghujungnya.

"Tinggal lagi dua hari tempoh berkempen. Selagi masih ada waktu, saya akan terus turun padang kerana setiap pertemuan amat bermakna," katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak ketinggalan mempergiat aktiviti menerusi Trak Jelajah Trak Bersama yang dihadiri calon DUN Kota Iskandar Sahrudin Omar manakala calon DUN Larkin Norsinah Abu pula mengadakan ceramah komuniti secara kelompok.

PRN Johor kali ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan 172 calon bagi merebut 56 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita