Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRN 2023: Anak Kelantan yang menyerantau main peranan penting tentukan kerajaan

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA BHARU: Ahmad Rifaei, 36 tahun, dilahirkan dan dibesarkan di Kelantan tetapi beliau sudah 15 tahun menetap di Kuala Lumpur kerana prospek pekerjaan lebih baik di ibu kota Malaysia itu.

Sungguhpun demikian, pemuda itu tidak pernah gagal pulang ke Kelantan untuk mengundi pada setiap pilihan raya.

"Mengundi ini merupakan satu tanggungjawab rakyat Malaysia. Di Kelantan, peratusan kemenangan di pihak perantau memang tinggi. Memang kita harapkan perantau-perantau baliklah untuk menunaikan tanggungjawab," ujarnya.

Kelantan memang dianggap sebuah negeri yang cukup 'tercabar' dari segi ekonomi. Ini yang menyebabkan ramai penduduknya keluar mencari kerja di tempat-tempat lebih maju seperti Pulau Pinang dan Lembah Klang untuk mencari peluang lebih baik.

Pada masa yang sama, penduduk Kelantan di rantauan memiliki pengaruh politik yang dipupuk oleh parti PAS demi penakatannya.

Parti itu aktif mendampingi para pengundi perantau dengan mendekati mereka melewati tempoh pilihan raya. Misalnya menerusi inisiatif yang dibiayai kerajaan negeri seperti PERAKAN, yang memupuk semangat kekitaan terhadap Kelantan dalam kalangan para perantau sedemikian.
Senarai calon Perikatan Nasional bagi PRN di Kelantan. (Gambar: Perikatan Nasional/Facebook)
"Sebahagian besar anak Kelantan ada satu sensitiviti nak balik, nak mencorakkan negeri itu. Ikatan itu masih ada. Sebab itu tangunggjawab kerajaan negeri, adalah kita meneruskan," kata Timbalan Ketua Belia PAS Kelantan, Encik Abdul Malik.

"Yang berjaya pada Ramadan dan Syawal, satu rutin di luar Kelantan. Itu pengisian yang menjadi acara wajib kita tiap-tiap tahun."

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membangkang di negeri itu bagaimanapun menjual naratif berbeza.

Mereka menyatakan, ramai anak Kelantan sebenarnya meninggalkan negeri itu kerana sudah hilang kepercayaan terhadap PAS.

Ini ekoran cabaran-cabaran yang gagal dihuraikan kerajaan PAS seperti krisis air dan sanitasi, kekurangan prasarana dan peluang pekerjaan yang terhad.

"Kita tawarkan kepada mereka, supaya mereka menilai tawaran kita. Dan akhir sekali mereka boleh memikirkan bagaimana kehidupan mereka sekarang dan apakah mereka mahu adik-adik mereka yang masih di bangku sekolah mengikut jejak mereka?" ujar Ketua Penerangan BN Kelantan Zawawi Othman.

"Meninggalkan ibu bapa dan meninggalkan kampung halaman dan akhirnya meninggalkan negeri yang tidak membangun?” soalnya lagi.

Pun begitu, cabaran pembangkang untuk menawan Kelantan begitu besar menggunung.

Hakikatnya, cengkaman PAS terhadap negeri yang digelar ‘serambi Makkah’ itu masih sangat kuat.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan