Skip to main content

Dunia

PRK Sandakan: Polis buka 6 siasatan daripada 12 aduan

Polis membuka enam kertas siasatan daripada 12 aduan yang diterima sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan sehingga jam 12.00 tengah malam semalam (10 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
PRK Sandakan: Polis buka 6 siasatan daripada 12 aduan

Sebuah pusat mengundi di Sandakan (Gambar: Amir Yusoff)

Diterbitkan : 11 May 2019 06:25PM Dikemas Kini : 11 May 2019 06:30PM

SANDAKAN: Polis membuka enam kertas siasatan daripada 12 aduan yang diterima sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan sehingga jam 12.00 tengah malam semalam (10 Mei).

Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata tiga daripada kertas siasatan itu membabitkan aduan khianat poster dan banting iaitu dua di bawah Seksyen 427 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan satu di bawah Seksyen 426 akta yang sama.

Katanya tiga lagi aduan ialah menyebarkan fitnah boleh membawa aib, mengadakan ceramah tanpa permit dan pemberian wang kepada pengundi.

Empat daripada kertas siasatan itu dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan diberi ialah tiada tindakan lanjut, katanya pada sidang media pada Sabtu.

Menurutnya 12 aduan polis itu dibuat oleh calon dan wakil parti politik yang bertanding.

Encik Omar berkata sepanjang tempoh berkempen PRK Sandakan sejak 28 April lepas hingga 11.59 malam semalam, sebanyak 362 permit ceramah dan kempen diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan.

Dalam pada itu, beliau berkata polis Sabah menyediakan seramai 874 orang iaitu melibatkan 123 pegawai dan 751 anggota bagi semua jenis penugasan pada PRK Sandakan ini.

Beliau memberi jaminan keadaan keselamatan di daerah itu terkawal termasuk di sempadan perairan melibatkan juga penugasan Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am yang ditempatkan di Pulau Langkayan, Selingan dan Nunuyan.

Justeru, Encik Omar berkata orang ramai tidak perlu risau tentang sebarang isu keselamatan kerana jumlah pegawai dan anggota polis yang bertugas adalah lebih daripada mencukupi.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita