Privasi pengguna Google Chrome diperkukuh
Google merancang untuk memperkenalkan kaedah pelayar web baru dalam beberapa bulan akan datang untuk menghadkan cara syarikat-syarikat pengiklanan menjejaki kegiatan pengguna internet.
(Gambar fail: Reuters/Arnd Wiegmann)
MOUNTAIN VIEW, CALIFORNIA: Google merancang untuk memperkenalkan kaedah pelayar web baru dalam beberapa bulan akan datang untuk menghadkan cara syarikat-syarikat pengiklanan menjejaki kegiatan pengguna internet. Kaedah itu turut menyediakan penjelasan kepada para pengguna mengapa iklan-iklan tertentu ditayangkan kepada mereka, menurut pengumuman syarikat itu dalam catatan-catatan blog pada Selasa (7 Mei).
"Pengalaman kami menunjukkan orang ramai lebih suka melihat iklan-iklan yang disesuaikan menurut keperluan dan kegemaran peribadi - tetapi hanya jika iklan-iklan itu menawarkan ketelusan, pilihan dan kawalan," kata Encik Prabhakar Raghavan, Naib Presiden Kanan Google bagi pengiklanan dan perdagangan dalam satu catatan blog.
Kaedah itu akan membolehkan para pengguna pelayar web Google Chrome untuk memadamkan cookie, iaitu cip-cip pemantauan digital yang digunakan sesetengah syarikat untuk merakam penggunaan Internet, tanpa perlu memadamkan cookie yang memudahkan pendaftaran masuk ke lelaman web, menurut Google.
Syarikat itu menambah ia juga akan menyekat beberapa kaedah yang mungkin digunakan lelaman bagi mengelakkan fungsi baru itu.
Satu perisian tambahan yang boleh digunakan dengan beberapa jenis pelayar web, akan menyenaraikan syarikat-syarikat yang terlibat dalam penayangan iklan kepada seseorang pengguna, termasuk perantara syarikat pengiklan dengan penerbit, menurut Google.
Google mengumumkan beberapa lagi kawalan dan dasar privasi semasa satu sidang pembangun web pada Selasa, sedang keprihatinan awam yang meningkat memaksa syarikat-syarikat Silicon Valley supaya bertindak lebih telus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.