Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Prihatin nasib rakyat, Sultan Nazrin sedia jadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Keprihatinan serta rasa tanggungjawab Sultan Perak Sultan Nazrin Shah kepada rakyat sekali lagi diterjemahkan apabila baginda menawarkan diri sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Anggaran Waktu Membaca:
Prihatin nasib rakyat, Sultan Nazrin sedia jadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. (Gambar: Facebook/Sultan Nazrin Muizuddin Shah)

Diterbitkan : 25 Jan 2019 09:02AM Dikemas Kini : 25 Jan 2019 09:05AM

IPOH: Keprihatinan serta rasa tanggungjawab Sultan Perak Sultan Nazrin Shah kepada rakyat sekali lagi diterjemahkan apabila baginda menawarkan diri sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pemilihan semula Sultan Perak untuk jawatan tersebut yang mula dipegang pada 13 Dis 2016 dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara semalam (24 Jan).

Mesyuarat tersebut turut menyaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Anggota Dewan Negara Perak, Encik Mohd Annuar Zaini berkata pemilihan Sultan Nazrin menunjukkan proses pemilihan pada mesyuarat tersebut berjalan dalam semangat ukhwah dan muhibah.

"Raja-raja menghormati penggiliran yang mana sekarang giliran Pahang untuk menjadi Agong, kemudian Raja-raja tawarkan jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kepada Johor.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak menawarkan diri, Sultan Perak bersedia menawarkan diri serta mengambil tanggungjawab sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak dibantah oleh semua Sultan," katanya kepada Bernama semalam (24 Jan).

Tambah Encik Mohd Annuar, proses pemilihan yang teratur, tersusun, tertib dan beradab itu juga jelas mencerminkan bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai pekerti yang tinggi selain turut mengutamakan rakyat.

“Tiada lobi melobi, tiada ‘undermining’ mengatakan orang itu bagus atau tidak, saling hormat menghormati untuk kebaikan rakyat dan negara," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Encik Ahmad Faizal Azumu berkata pemilihan Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin dapat meneruskan kesinambungan Sistem Raja Berperlembagaan di negara itu.

Dalam kenyataan ringkas, Encik Ahmad Faizal berkata: "kerajaan negeri mendoakan agar Sultan Abdullah terus dikurniakan keafiatan dan hidayah dalam menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16".

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan