Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Yoon terima peletakan jawatan Menteri Pertahanan Korea Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Yoon terima peletakan jawatan Menteri Pertahanan Korea Selatan

(Gambar: SAUL LOEB / AFP)

Diterbitkan : 05 Dec 2024 05:16PM Dikemas Kini : 05 Dec 2024 05:25PM
SEOUL: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol menerima peletakan jawatan Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun, menurut Pejabat Presiden pada Khamis (5 Dis) menyusuli kontroversi berhubung peranannya dalam perisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Yoon yang kemudiannya dibatalkan.

Menurut agensi berita Yonhap, Encik Kim yang mencadangkan perisytiharan undang-undang tentera kepada Presiden, menawarkan untuk meletak jawatan pada Rabu selepas Presiden Yoon secara mengejut mengisytiharkan undang-undang tentera pada Selasa malam.

Presiden Yoon kemudian menarik balik perintah itu beberapa jam kemudian menyusuli keputusan Perhimpunan Kebangsaan untuk membatalkannya.

Ketua Turus Presiden Chung Jin-suk, dalam satu sidang media berkata Presiden Yoon telah mencalonkan Choi Byung-huk, mantan jeneral Tentera Darat yang kini berkhidmat sebagai Duta Korea Selatan ke Arab Saudi untuk menggantikan Encik Kim.

Encik Chung memperkenalkan Encik Choi sebagai seorang profesional tentera berpengalaman dengan pemahaman mendalam mengenai keselamatan negara serta pengalaman lapangan yang luas.

Calon itu dianggap sesuai untuk "memenuhi tanggungjawab teras ketenteraan, termasuk mengekalkan kesiapsiagaan kukuh berdasarkan pakatan Korea Selatan-Amerika Syarikat yang teguh," kata Encik Chung.

Di Korea Selatan, semua menteri perlu melalui proses pengesahan Parlimen, tetapi hanya pelantikan perdana menteri memerlukan kelulusan Parlimen.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan