Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden Xi puji 'tindakan tegas' Thailand terhadap sindiket penipuan

Presiden China Xi Jinping mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra pada Khamis (6 Feb) atas "tindakan tegas" yang diambil oleh negaranya terhadap sindiket-sindiket penipuan dari Myanmar yang menyasarkan rakyat China.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Xi puji 'tindakan tegas' Thailand terhadap sindiket penipuan

Ramai pelancong China berasa takut untuk ke Thailand berikutan laporan mengenai pelancong yang diculik dan dipaksa bekerja untuk sindiket-sindiket penipuan dari Myanmar. (Gambar fail: AFP/Manan Vatsyayana)

Diterbitkan : 06 Feb 2025 06:12PM Dikemas Kini : 06 Feb 2025 06:13PM
BEIJING: Presiden China Xi Jinping mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra pada Khamis (6 Feb) atas "tindakan tegas" yang diambil oleh negaranya terhadap sindiket-sindiket penipuan dari Myanmar yang menyasarkan rakyat China.

China adalah pasaran yang sangat penting bagi Thailand sedang ia membina semula sektor pelancongannya berikutan pandemik COVID-19.

Ramai rakyat China terkejut dengan laporan yang menyatakan bahawa sesetengah pelancong dari China diculik dan dibawa ke sindiket-sindiket penipuan di Myanmar.

Semasa bertemu dengan Cik Paetongtarn di Beijing, Presiden Xi berkata: "China menghargai tindakan tegas yang diambil oleh Thailand untuk memerangi perjudian online, penipuan melalui panggilan telefon dan penipuan online", lapor penyiar CCTV.

"Kedua-dua pihak mesti terus mengukuhkan kerjasama dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama kehakiman" untuk "melindungi nyawa dan harta rakyat", tambah Presiden Xi.

Pihak berkuasa Thailand pada Rabu (5 Feb) memutuskan bekalan elektrik ke lima kawasan di Myanmar di mana sindiket-sindiket penipuan dipercayai beroperasi.

Bangkok menyifatkan sindiket-sindiket penipuan itu sebagai "isu keselamatan negara".

Sindiket-sindiket itu semakin bermaharajalela di kawasan sempadan Myanmar yang tidak terkawal, dikendalikan oleh kumpulan-kumpulan penjenayah yang menggunakan warga asing yang dipaksa untuk menipu rakan senegara mereka dalam industri pelancongan yang menurut para penganalisis bernilai berbilion dolar.

Pada Januari, pelakon China Wang Xing dilaporkan berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan siber di Myanmar.

Menyusuli penculikannya, jumlah pelancong China yang melawat Thailand semasa cuti Tahun Baharu China merosot secara mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan