Presiden Xi beri amaran Taiwan akan bersatu semula dengan China dalam ucapan Tahun Baharu
BEIJING: Presiden China Xi Jinping telah mengulangi dakwaannya bahawa Taiwan satu hari nanti akan bersatu semula dengan tanah besar China.
Encik Xi membuat komen itu dalam ucapan Tahun Baharunya pada Ahad (31 Dis), kurang dua minggu sebelum pilihan raya umum diadakan di Taiwan.
Beijing menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya sendiri.
Dalam perbahasan yang disiarkan menerusi televisyen baru-baru ini, tiga calon pilihan raya Taiwan yang mempunyai pandangan berbeza tentang cara menangani Beijing,telah menyampaikan hujah mereka sama ada hubungan damai antara Taiwan dengan tanah besar China boleh berlaku.
Di samping itu, Encik Xi turut menarik perhatian dalam ucapannya bahawa ekonomi China telah tumbuh "dengan lebih bingkas dan dinamik" pada 2023, meskipun perangkaan kewangan yang dicatat mengecewakan sedang pemulihan pasca COVID-19 terhambat.
Encik Xi telah mengharungi tahun 2023 yang mencabar sedang beliau berada di pucuk kepimpinan ekonomi kedua terbesar dunia, dengan pentadbirannya bergelut untuk mengekalkan pemulihan ekonomi sejak ia menggugurkan dasar sifar COVID-19 pada tahun sebelumnya.
Beliau menegaskan tahun depan "kita mesti ... menyatukan dan meningkatkan trend positif pemulihan ekonomi, dan mencapai kestabilan ekonomi jangka panjang".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.