Presiden Xi beri amaran dunia dalam persimpangan antara damai dan perang, ikrar pembangunan aman
China mengadakan perbarisan tentera besar-besaran di Beijing pada pagi Rabu (3 Sep) bagi memperingati ulang tahun ke-80 sejak Perang Dunia II tamat, menggabungkan pertunjukan ketenteraan dan simbolisme patriotik.
Presiden China Xi Jinping berdiri di dalam sebuah kereta untuk memeriksa pasukan tentera semasa perbarisan ketenteraan bagi memperingati ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua, di Beijing, China, pada 3 September 2025. (Gambar: REUTERS/Tingshu Wang)
Barisan anggota tentera, konvoi berperisai dan jet pejuang bersedia untuk menggegarkan Dataran Tiananmen dalam persembahan yang dirancang rapi - digambarkan sebagai upacara memperingati peperangan, namun pada masa yang sama menjadi paparan bagi pemodenan ketenteraan China serta azam negara.
Dalam ucapannya, Presiden Xi Jinping memberi penghormatan kepada pengorbanan China sambil menegaskan tekad Beijing untuk terus memelihara kedaulatan dan mengekalkan keamanan.
“Hari ini, manusia sekali lagi berdepan dengan pilihan: keamanan atau peperangan, dialog atau konfrontasi, manfaat bersama atau persaingan sifar,” kata Encik Xi yang memberi amaran dalam ucapannya sepanjang sekitar tujuh minit.
Ucapan beliau disampaikan sedang perang berlarutan di Ukraine dan Timur Tengah.
Pada masa yang sama, orde dunia juga goyah akibat perpecahan yang semakin mendalam dan apa yang dilihat Beijing sebagai pendirian Washington yang semakin bersifat sehala.
Encik Xi turut menyatakan komitmen China terhadap pembangunan aman.
“(Kami) akan bekerjasama dengan rakyat dari semua negara untuk membina masyarakat dengan masa depan bersama sesama manusia,” kata beliau.
“Sejarah mengingatkan kita bahawa nasib manusia saling berkait,” ujar Encik Xi dalam ucapannya pada Rabu.
“Hanya dengan memperlakukan satu sama lain secara adil, hidup secara harmoni dan saling membantu, sesebuah negara dapat mengekalkan keselamatan bersama, menghapuskan akar-akar peperangan, dan mencegah berulangnya tragedi bersejarah.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.