Skip to main content

Dunia

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi tegaskan tiada cadangan tukar Menteri Besar Negeri Sembilan

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada cadangan untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menyusuli kemelut politik di negeri itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi tegaskan tiada cadangan tukar Menteri Besar Negeri Sembilan

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 07 May 2026 04:44PM Dikemas Kini : 07 May 2026 04:45PM
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada cadangan untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menyusuli kemelut politik di negeri itu.

Pendirian tersebut dinyatakan beliau, meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan tetap menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Encik Aminuddin.

“(Berdasarkan pendirian UMNO Negeri Sembilan, adakah Menteri Besar Negeri Sembilan perlu ditukar juga?) Tidak, tidak ada cadangan,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026–2030 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTC KL) pada Khamis (7 Mei).

Pada Rabu (6 Mei), UMNO Negeri Sembilan menegaskan akan terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan, namun mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap menteri besarnya.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Mustapha Nagoor berkata, ketetapan untuk mengekalkan kerjasama itu dibuat demi menjamin kesejahteraan dan keutamaan kepada rakyat di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Encik Ahmad Zahid berkata pendirian parti Melayu itu berhubung isu berkenaan bukan hanya melibatkan UMNO Negeri Sembilan, sebaliknya turut dipersetujui kepimpinan pusat parti.

Menurutnya, UMNO bukan menolak kepimpinan negeri, namun tidak akan menyokong sebarang campur tangan dalam urusan melibatkan undang-undang adat di Negeri Sembilan.

“Kita bukan menolak tetapi kita tidak mendukung selagi beliau (Aminuddin) campur tangan dalam undang-undang adat di Negeri Sembilan.

“Kita mahu supaya soal kedaulatan Negeri Sembilan antara Yang Dipertuan Besar dan Undang Yang Empat harus dihormati dan biarlah mereka menyelesaikan masalah itu,” tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai Program Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Encik Ahmad Zahid berkata, tidak timbul isu tidak diundang kerana pihak penganjur sudah memaklumkan kepada beliau lebih awal.

Beliau berkata, program itu juga jelas menyasarkan pimpinan serta ahli parti-parti komponen dalam PH.

“Majlis itu adalah anjuran PH dan mereka telah memaklumkan kepada saya.

“Kumpulan sasarannya adalah parti-parti dan ahli-ahli komponen dalam PH.

“Jadi bukan soal jemput atau tidak dijemput, tetapi kumpulan itu adalah kumpulan mereka,” katanya.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita