Presiden Turki gesa gencatan senjata Rusia-Ukraine jelang rundingan damai di Istanbul

(Gambar: Murat Cetin Muhurdar/Turkish Presidential Press Service/AFP)
ISTANBUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa (29 Mac) mengulangi gesaannya bagi gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine menjelang rundingan damai di Istanbul demi menamatkan konflik yang sudah berlanjutan hampir dua bulan, lapor agensi berita Anadolu (AA).
"Kami percaya penyelesaian keamanan yang adil tidak akan merugikan sesiapa, dan tiada pihak inginkan konflik berpanjangan," kata Erdogan kepada delegasi Rusia dan Ukraine di Turki.
Beliau juga berkata Turki bersedia menjadi tuan rumah rundingan damai antara presiden Rusia dan Ukraine.
Turki telah mempamerkan pendekatan yang adil untuk melindungi hak, undang-undang dan sensitiviti kedua-dua pihak di semua platform antarabangsa, kata Erdogan.
Pusingan baru rundingan damai antara Rusia dan Ukraine akan berlangsung di Istanbul pada Selasa (29 Mac).
Delegasi Rusia dan Ukraine tiba di bandar itu pada Isnin (28 Mac).
Awal dari itu, Erdogan berkata beliau akan duduk bersama kedua-dua pihak untuk "pertemuan singkat" sebelum rundingan damai.
Beliau juga berkata perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatannya dari Ukraine dan Rusia akan diteruskan dan "menjurus kepada penyelesaian yang diinginkan."
Beberapa rundingan antara Rusia dan Ukraine sudahpun diadakan di Belarus setakat ini dan rundingan terakhir diadakan melalui pautan video pada 14 Mac, tanpa sebarang keputusan konkrit.
Turki menjadi tumpuan dunia pada 10 Mac selepas negara itu menjadi tuan rumah kepada pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua pihak membabitkan menteri luar Rusia dan Ukraine di bandar Antalya di selatan Turki, sejak krisis tercetus.
Turki mendapat pujian meluas atas usahanya menamatkan sengketa kedua-dua negara itu kerana Turki menjalin hubungan mesra dengan Rusia dan Ukraine.
Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain menguatkuasakan sekatan kewangan ke atas Moscow.
Sekurang-kurangnya 1,151 orang awam terbunuh dan 1,842 yang lain cedera, manakala lebih 3.87 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.