Presiden Turki Erdogan sedia bertemu pemimpin Taliban
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Rabu (11 Ogos) berkata, beliau sedia bertemu dengan pemimpin kumpulan pemberontak Taliban dalam usaha memastikan keamanan di Afghanistan.
Presiden Turki Tayyip Erdogan. (Gambar: Pavel Golovkin/Pool via REUTERS)
ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Rabu (11 Ogos) berkata, beliau sedia bertemu dengan pemimpin kumpulan pemberontak Taliban dalam usaha memastikan keamanan di Afghanistan.
Ketika ini, pemberontak Taliban sudah menawan lebih daripada suku ibu kota wilayah Afghanistan itu dalam tempoh kurang seminggu.
Turki sekarang ini mempunyai pasukan tentera di Afghanistan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menawarkan untuk membantu mempertahankan secara strategik lapangan terbang Kabul apabila tentera Amerika Syarikat meninggalkan Afghanistan, akhir Ogos ini.
Perbincangan antara pegawai Turki dan Amerika diteruskan dan Ankara menyatakan mereka boleh menjamin keselamatan lapangan terbang sekiranya tiada masalah isu diplomatik, kewangan dan logistik.
"Perkembangan dan keadaan terbaru di Afghanistan ini sangat, sangat merisaukan," kata Encik Erdogan dalam temubual dengan CNN Turki.
"Mungkin saya dalam kedudukan untuk bertemu pemimpin mereka (Taliban)," tambahnya merujuk kepada perbincangan pegawai Turki dengan pemberontak Taliban.
Bulan lalu, Encik Erdogan juga berkata, Turki akan mengadakan perbincangan dengan Taliban sebagai sebahagian daripada proses keamanan.
"Kenapa? Kerana jika kita tidak mengawal perkara sebegini di peringkat tertinggi, ia mungkin tidak akan menjamin keamanan kali ini di Afghanistan," tambahnya.
Beliau juga menekankan kebimbangan rakyat Turki apabila ramai warga Afghanistan meninggalkan negara itu ekoran kumpulan pemberontak itu semakin menguasai negara tersebut.
Ketika ini, Turki sudah menempatkan 3.6 juta pelarian Syria dan isu itu sering dibangkitkan pembangkang walaupun Presiden Erdogan menegaskan ia sudah dikawal dengan pembinaan tembok di timur serta selatan negara itu.
"Sama ada sempadan dengan Iran atau Iraq, tembok kita semakin meningkat naik ketika ini. Ia adalah untuk mencegah pendatang haram masuk ke negara ini," katanya.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengarahkan penarikan tentera negara itu dari Afghanistan dan mengesahkan pengunduran itu akan selesai sepenuhnya pada 31 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.