Presiden Tsai Ing-wen isytihar menang pilihan raya Taiwan
Presiden Taiwan Tsai Ing-wen mengisytiharkan kemenangannya bagi pilihan raya Sabtu (11 Jan) sedang para pengundi menzahirkan bantahan terhadap kempen Beijing untuk memencilkan pulau itu. Ini sekali gus memberikan pemimpin wanita pertamanya Taiwan itu satu lagi penggal selaku ketua.

Presiden Taiwan Tsai Ing-wen lambai kepada para penyokongnya pada 11 Jan 2020 (Gambar: AFP/Sam Yeh)
TAIPEI: Presiden Taiwan Tsai Ing-wen mengisytiharkan kemenangannya bagi pilihan raya Sabtu (11 Jan) sedang para pengundi menzahirkan bantahan terhadap kempen Beijing untuk memencilkan pulau itu. Ini sekali gus memberikan pemimpin wanita pertamanya Taiwan itu satu lagi penggal selaku ketua.
Cik Tsai, 63 tahun, mengumumkan kemenangannya sedang beribu-ribu penyokong bersorak gembira dan mengibarkan bendera di luar ibu pejabat partinya sementara kiraan undi yang masih berlangsung menunjukkan beliau mendahului dengan jurang kiraan yang kukuh.
"Taiwan menunjukkan kepada dunia betapa kita menghargai cara hidup demokratik kita yang bebas dan betapa kita menghargai negara kita," katanya kepada para wartawan.
Saingan utama beliau, Han Kuo-yu dari parti Kuomintang (KMT) yang mesra China, sudahpun mengaku kalah sejurut sebelum itu.
Kiraan rasmi menunjukkan Cik Tsai mengumpul 57 peratus undian - lebih 8 juta undi - pada Sabtu petang. Encik Han ketinggalan dengan meraih 38 peratus undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat masih mengira undi apabila Cik Tsai membuat pengumuman, namun Encik Han tahu beliau tidak akan dapat merapatkan jurang itu.
Keputusan itu adalah satu tamparan hebat bagi Beijing, yang secara terbuka ingin menyingkirkan Cik Tsai agar KMT dapat mengambil alih.
Sepanjang tempoh empat tahun lalu, ia meningkatkan tekanan ekonomi dan diplomatik ke atas pulau itu, dengan harapan ia akan menggalakkan para pengundi menyokong pesaing Cik Tsai.
Namun taktik keras itu tidak berhasil dan sebaliknya menyebabkan para pengundi beramai-ramai menyokong Parti Progresif Demokratik (DPP) pimpinan Cik Tsai, didorong sebahagiannya oleh tindakan keras China terhadap bantahan prodemokrasi besar-besaran dan ganas di Hong Kong sejak beberapa bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.