Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Presiden AS Trump kembali ke Rumah Putih selepas keluar hospital

Presiden Donald Trump meninggalkan Pusat Perubatan Walter Reed dan menuju ke Rumah Putih untuk terus menjalani pemulihan selepas dijangkiti COVID-19, lapor agensi berita Sputnik.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden AS Trump kembali ke Rumah Putih selepas keluar hospital

Presiden Trump. (Gambar: AP/Alex Brandon)

Diterbitkan : 06 Oct 2020 11:59AM Dikemas Kini : 06 Oct 2020 12:02PM

WASHINGTON: Presiden Donald Trump meninggalkan Pusat Perubatan Walter Reed dan menuju ke Rumah Putih untuk terus menjalani pemulihan selepas dijangkiti COVID-19, lapor agensi berita Sputnik.

Encik Trump dilihat berjalan meninggalkan pusat perubatan itu pada Isnin (5 Okt) petang dengan memakai pelitup muka sambil melambai kepada pihak media.

Di Rumah Putih, Encik Trump menanggalkan pelitup mukanya ketika bergambar di atas balkoni Truman, lapor NBC News.

Kira-kira dua jam kemudian dalam rakaman video, Encik Trump berkata rakyat Amerika tidak perlu takut kerana Amerika Syarikat (AS) mempunyai peralatan perubatan dan ubat-ubatan terbaik di dunia.

Katanya, vaksin untuk memerangi penyakit itu akan ada tidak lama lagi.

"Kami akan kembali bekerja," kata Encik Trump dan berikrar untuk "menewaskan" COVID-19.

Encik Trump berkata beliau "mesti ke depan" sebagai pemimpin negara walaupun ada risikonya.

"Dan sekarang saya rasa lebih baik. Mungkin saya kebal. Saya tidak tahu," kata Encik Trump.

Terdahulu, pada Isnin pasukan perubatan Encik Trump memberitahu wartawan presiden memenuhi semua kriteria untuk dibenarkan keluar hospital dan keadaannya bertambah baik sejak didiagnosis pada Khamis. 

Encik Trump, dalam ciapannya kira-kira 20 minit sebelum meninggalkan hospital, berkata beliau akan meneruskan kempen "tidak lama lagi."

Presiden itu dijangka menyertai debat presiden yang dijadual 15 Oktober di Miami, Florida, menurut pengarah komunikasi kempen Trump, Tim Murtaugh.

Sumber : Bernama/EM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan